WASHINGTON, 9 Julai – Rumah Putih pada Isnin menafikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sedang dirawat untuk penyakit Parkinson.
Ini selepas rekod pelawat menunjukkan seorang pakar neurologi terkemuka yang pakar dalam penyakit itu mengunjungi rumah eksekutif berkenaan sebanyak lapan kali dalam tempoh lapan bulan.
Rekod itu yang boleh diakses oleh orang ramai di laman sesawang Rumah Putih, menunjukkan Dr Kevin Cannard mengunjungi rumah berkenaan sebanyak lapan kali dari Ogos 2023 hingga Mac tahun ini.
Tidak jelas sama ada Cannard mengunjungi Rumah Putih dalam tempoh empat bulan lepas, lapor Agensi Anadolu.
Profil LinkedIn Cannard menyatakan beliau seorang pakar neurologi yang ‘menyokong Unit Perubatan Rumah Putih’.
Satu lagi profil awam di laman rangkaian profesional perubatan Doximity menyatakan Cannard telah mengusahakan terapi untuk penyakit Parkinson peringkat awal.
Jurucakap Rumah Putih Karine Jean-Pierre menafikan bahawa Biden sedang dirawat untuk Parkinson, tetapi dia enggan menjawab soalan mengenai lawatan itu, malah enggan mengesahkan sama ada Cannard telah mengunjungi kompleks Rumah Putih. – nasionalkini.my