TORONTO, 15 Julai – Seorang anggota bomba Kanada maut ketika memadamkan kebakaran hutan di British Columbia, kata pihak berkuasa ketika kebakaran hutan terus merebak di seluruh negara.
Kesatuan Pekerja Am British Columbia mengumumkan kematian anggota bomba itu dalam satu kenyataan lewat semalam, dipetik dari Reuters.
Mereka memaklumkan petugas itu seorang wanita tetapi tidak mendedahkan namanya.
“Hati dan fikiran kami bersama keluarga beliau dan masyarakat, sama ada yang berada di rumah mahupun di Perkhidmatan Kebakaran Hutan British Columbia,” kata kesatuan itu dalam satu kenyataan.
Menurut kesatuan itu, wanita berkenaan memadam kebakaran di luar bandar Revelstoke, kira-kira 500 kilometer di timur laut Vancouver, di pantai barat Kanada.
Mengikut laporan CBC, pada masa ini terdapat tiga kebakaran hutan dalam jarak 48 kilometer dari Revelstoke dengan dua daripadanya tidak terkawal.
Kira-kira 2,000 anggota bomba sedang bergelut untuk menangani lebih daripada 350 kebakaran di seluruh British Columbia.
Kebakaran turut marak di kawasan di timur Kanada dan pelepasan akibat kebakaran hutan telah mencapai rekod tertinggi.- nasionalkini.my