KUALA LUMPUR 26 April – Meskipun data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan pada minggu lalu menunjukkan kadar inflasi di Malaysia semakin menurun kepada 3.4% pada Mac 2023, namun masih terdapat beberapa risiko yang membimbangkan.
Malah, penganalisis menjangkakan negara akan terus berdepan tekanan inflasi yang tinggi dalam tempoh terdekat, walaupun kadar inflasi semakin mereda pada separuh pertama tahun ini.

Public Investment Bank Bhd. mendapati kenaikan harga komoditi global ekoran ketegangan geopolitik adalah antara risiko utama yang akan mempengaruhi tekanan inflasi.
Selain itu, ia turut dipengaruhi faktor cuaca buruk, permintaan China yang lebih kukuh daripada jangkaan dan kos input yang meningkat akibat perkembangan kadar tukaran.
Di sebalik faktor-faktor berkenaan, firma penyelidikan itu tidak menolak kemungkinan rasionalisasi subsidi domestik dan dasar kawalan harga akan meningkatkan lagi tekanan inflasi ini.

“Tetapi, kami percaya, harga siling bagi RON95 dan diesel masing-masing yang ditetapkan pada RM2.05 dan RM2.15 seliter, mungkin tertakluk kepada semakan dan akan meningkat beransur-ansur pada akhir tahun ini,” katanya dalam nota kajian, baru-baru ini.
Tanpa subsidi petrol, firma penyelidikan itu menganggarkan harga sebenar RON95 akan mencecah hampir RM3.22 seliter berbanding ketika ini pada RM2.05 seliter.
Ia juga menjangkakan pelarasan beransur-ansur harga subsidi RON95 dan diesel pada separuh kedua 2023 boleh menyebabkan inflasi utama menghampiri had julat unjuran rasmi antara 2.8 hingga 3.8%.
“Jika subsidi bahan api golongan T20 dihapuskan (yang merangkumi 35% daripada subsidi bahan api pada 2022), kemungkinan inflasi tahunan akan melonjak lagi antara 0.45 hingga 0.75 mata peratusan,” jelasnya.
Ekoran kemungkinan pelarasan subsidi, Kenanga Research turut menyemak naik unjuran inflasi utama tahun ini kepada 2.9% berbanding 2.5% sebelum ini.
Walaupun tekanan harga semakin reda, namun terdapat kemungkinan kenaikan harga sekali sahaja disebabkan pelaksanaan subsidi yang disasarkan untuk barangan terpilih (seperti diesel, ayam dan telur) pada separuh kedua 2023.
Ini turut dipengaruhi dengan pelaksanaan gaji minimum baharu untuk perusahaan mikro pada Julai.
“Selain itu, peningkatan aktiviti pelancongan dan ketegangan geopolitik juga boleh menyumbang kepada kadar inflasi yang lebih tinggi,” katanya.
Namun, firma penyelidikan itu menjangkakan kadar inflasi akan terus menurun pada purata 3.3 peratus untuk suku kedua ini diikuti 2.9 peratus pada suku ketiga, dengan sebahagiannya disebabkan kesan asas.

Dalam pada itu, mengenai kadar dasar semalaman (OPR) Public Investment berpendapat, Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengambil langkah berhemat dengan mengelak daripada membuat sebarang perubahan dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) seterusnya.
Ini memandangkan nada berhati-hati BNM baru-baru ini terhadap peningkatan risiko penurunan berpunca daripada gabungan faktor dalaman dan luaran yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi, di samping kesan subsidi secara berterusan.
“Walaupun keputusan (MPC) akan datang bergantung pada data berkaitan, kami menjangkakan senario yang munasabah pada separuh kedua 2023 akan menyaksikan peningkatan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3 peratus, kembali ke tahap sebelum pandemik,” jelasnya.
Sebaliknya, Kenanga Research pula berpandangan, bank pusat akan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus dalam mesyuaratnya pada Mei ini.
Penilaian firma itu mengambil kira langkah bank pusat yang telah menamatkan kitaran normalisasi dasarnya, terutama disebabkan oleh kelembapan yang akan berlaku dalam ekonomi global dan tekanan harga semakin berkurangan.
“Melainkan berlaku sebarang keadaan yang tidak dijangka dalam ekonomi global atau domestik, kemungkinan besar BNM akan mengekalkan pendirian dasar semasanya sehingga akhir tahun,” katanya.- nasionalkini.my