KUALA LUMPUR, 22 Jun : MGB Berhad (MGB), penyedia solusi perkhidmatan dan pembangunan hartanah serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad berjaya memperoleh kontrak bernilai RM203.63 juta.
Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, dengan kontrak ini, buku pesanan MGB bertambah kukuh kepada RM1.85 billion dan memberikan pihaknya, anggaran pendapatan bagi tahun mendatang.
“Selain daripada penambahan buku pesanan, kami juga meningkatkan pengetahuan serta pengalaman mengenai konkrit pratuang Sistem Konkrit Tetuang (IBS) supaya terus konsisten sebagai penyelesaian pembinaan berinovatif.
“Seterusnya, menerusi pengalaman luas, kami akan memanfaatkannya bagi meraih projek baharu dan kekal optimis bagi memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin meningkat sekali gus menerajui barisan hadapan di dalam industri,” katanya, lapor Harian Metro.

Perolehan kontrak itu membabitkan MGB Construction & Engineering Sdn Bhd yang berjaya menerima surat lantikan bernilai RM156.83 juta (kontrak) daripada Arqhitectnia bagi pihak Seloka Sinaran Sdn Bhd untuk projek pembangunan di Dengkil, Sepang, Selangor.
Kontrak itu antaranya ialah pembinaan sejumlah 413 unit rumah teres satu tingkat, 76 unit rumah teres dua tingkat dan 328 unit rumah bandar dua tingkat di Lot PT 69264, Tanah Rizab Melayu Dengkil, Selangor.
Selain itu, MGB juga akan membina pusat komuniti serta kemudahan lain termasuk pondok pengawal keselamatan dan pencawang elektrik di kawasan berkenaan.
Kerja pembinaan bagi projek ini dijangka akan bermula pada 1 September 2023 untuk tempoh 15 bulan.-nasionalkini.my