KUALA LUMPUR 26 April – Kedudukan Malaysia dalam Indeks Prestasi Logistik (LPI) Bank Dunia 2023 melonjak 15 anak tangga untuk berada di tempat ke-26, menjadi negara kedua terbaik selepas Singapura dalam kalangan negara ASEAN.
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, ia merupakan lonjakan ketara dari kedudukan ke-41 pada 2018 dan ke-32 pada 2016.
Sebelum ini, Malaysia merekodkan kedudukan terbaik di tangga ke-25 dalam laporan LPI Bank Dunia 2014.

“Laporan LPI merupakan penanda aras bagi membantu negara mengenal pasti apa yang boleh dilakukan bagi menambahbaik logistik perdagangan antarabangsa bagi meningkatkan daya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Laporan LPI edisi ketujuh ‘Connecting to Compete’ dikeluarkan selepas tiga tahun gangguan rantaian bekalan semasa pandemik COVID-19.

Ia juga merangkumi pandangan terkini mengenai prestasi logistik perdagangan di 139 negara.
Sementara itu, Champion of Logistics Productivity Nexus (LPN), Datuk Seri Michael Tio berkata, sekiranya Malaysia terus menanda aras Singapura, negara mampu berada dalam kedudukan 10 terbaik LPI, tidak lama lagi.

“Industri logistik mempunyai banyak ruang penambahbaikan untuk menjadi destinasi logistik pilihan di ASEAN.
“Tambahan pula, Malaysia mempunyai infrastruktur yang komprehensif untuk industri logistik berkembang maju selain keterhubungan yang baik melalui darat, laut dan udara,” katanya. – nasionalkini.my


