KUALA LUMPUR, 11 Mei – Permintaan domestik akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi pada suku pertama tahun ini yang diunjur berkembang sederhana sekitar 4.8 hingga 5.1 peratus, demikian menurut penganalisis.
Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2023, Jumaat ini.
Kenanga Research menjangkakan ekonomi pada suku berkenaan akan berkembang 5.1 peratus terutamanya didorong normalisasi dasar fiskal dan kelembapan ekonomi global.
Faktor ini juga akan mempengaruhi KDNK suku kedua yang diunjur lebih menyederhana kepada 3.5 peratus.
“Bagaimanapun, keseluruhan pertumbuhan akan kekal disokong permintaan domestik yang kukuh, kadar pengangguran lebih rendah dan ketibaan pelancong serta permintaan luar.
“Namun, kami masih mengekalkan unjuran KDNK 2023 pada 4.7 peratus berbanding 8.7 peratus tahun lalu,” katanya dalam nota kajian.
Sementara itu, AmInvestment Research berkata, prospek ekonomi masih kekal suram ekoran kenaikan mendadak kadar faedah terutamanya dalam kalangan bank pusat utama dan juga tekanan inflasi.
“Oleh itu, pada suku pertama ini, kami menjangkakan ekonomi negara akan berkembang dalam julat 4.8 hingga 5 peratus disokong permintaan domestik.
“Bagi tahun penuh 2023 pula, KDNK akan berkembang pada 4.5 peratus dipacu faktor domestik antaranya pasaran buruh bertambah baik, pelaburan direalisasikan dsn sektor pembinaan serta pertanian yang semakin baik,” jelasnya.
RHB Investment pula menyemak naik unjuran pertumbuhan KDNK suku pertama ini, kepada 5.1 peratus berbanding 4.2 peratus sebelum ini.
Ini berikutan data Pengeluaran Perindustrian pada Mac yang lebih baik daripada jangkaan.
“Permintaan luaran dan pengeluaran juga bertambah baik menjelang separuh kedua 2023, susulan jangkaan pemulihan ekonomi global.
“Pada masa sama, permintaan domestik diunjur kekal teguh didorong perbelanjaan pengguna dan keadaan pasaran buruh yang bertambah baik,” jelasnya. – nasionalkini.my