KUALA LUMPUR, 25 Mei – Firma penyelidikan menyemak semula unjuran pertumbuhan eksport tahun ini berikutan prestasi lemah direkodkan pada April 2023.
Data yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) pada bulan tersebut menunjukkan eksport merosot 17.4 peratus kepada RM105.42 bilion, manakala import susut 11.1 peratus kepada RM92.58 bilion.
Ia menyaksikan jumlah perdagangan Malaysia susut 14.5 peratus kepada RM198 bilion pada April 2023 sejajar dengan permintaan global yang perlahan.
Ini mendorong Kenanga Research menyemak semula unjuran eksport negara lebih rendah kepada 4.2 peratus berbanding 5.8 peratus sebelum ini.
Menurutnya, kemungkinan besar eksport akan terus menguncup dalam tempoh terdekat terutamanya disebabkan asas yang lebih tinggi direkodkan pada tahun lalu.
“Selain itu, ia turut dipengaruhi faktor harga komoditi yang lebih rendah dan normalisasi aktiviti ekonomi.
“Persekitaran kewangan yang lebih ketat ekoran dasar monetari yang agresif di beberapa negara maju dalam usaha mengekang tekanan inflasi turut memberi impak kepada prestasi eksport negara,” katanya dalam nota kajian.
Di sebalik jangkaan prestasi dagangan yang lemah pada April, Kenanga Research masih mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 pada 4.7 peratus.
MIDF Research berkata, jumlah dagangan Malaysia merosot buat bulan kedua berturut-turut dan penguncupan paling mendadak sejak pemulihan selepas pandemik.
Mengambil kira prestasi lemah itu, ia menyemak turun unjuran eksport tahun ini kepada 3.4 peratus manakala import pula 1.9 peratus.
Meskipun pemulihan China boleh merangsang aktiviti dagangan tahun ini, tetapi permintaan global yang lemah (terutamanya barangan pembuatan) akan menyebabkan prestasi perdagangan luar lebih perlahan.
“Malah, kami menjangkakan harga komoditi yang lebih rendah akan terus memberi kesan kepada eksport berasaskan sumber dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Prospek dagangan kemungkinan akan lebih lemah jika inflasi global masih kekal tinggi, bank pusat terus mengetatkan dasar monetari dan risiko geopolitik merosot,” jelasnya. – nasionalkini.my