Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 17 Mei – Pengasas sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak di sini didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh di sini, hari ini atas lima pertuduhan melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajarnya, sejak tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus lima pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd. Sabri Ismail.
Mengikut tiga pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajarnya masing-masing berusia 13 tahun 9 bulan, 14 dan 15 tahun.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh yang mempunyai dua isteri di dalam bilik di rumah guru Pusat Tahfiz Al-Islah Tanjung Minyak pada 20 Julai 2022 serta Mac 2023.
Sabit kesalahan, tertuduh yboleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.
Sementara itu, bagi dua pertuduhan lagi, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap dua mangsa sama, di lokasi sama pada Mac 2023.
Sabit kesalahan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.
Terdahulu, peguam Fahmy Sulaiman yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung dua isteri dan enam anak berusia setahun setengah sehingga 13 tahun.
Selepas mendengar rayuan kedua belah, Darmafikri memberikan jaminan sebanyak RM20,000 bagi dua pertuduhan di hadapannya, bagaimanapun Mohd. Sabri tidak membenarkan jaminan bagi pertuduhan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Ia selepas bersetuju dengan hujahan Muhammad Nazrin bahawa tertuduh penah didakwa atas kesalahan sama pada 2019 yang mana terdapat kecenderungan tertuduh untuk melakukan kesalahan sama jika dibenarkan ikat jamin.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Jun ini.
Nasionalkini pada 13 Mei lalu melaporkan seorang pengasas dan adiknya yang juga warden sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak dan Alor Gajah di sini direman empat hari bagi membantu siasatan kes cabul, seks luar tabii dan mendera enam pelajar tahfiz berkenaan. – nasionalkini.my


