KLANG: Seorang murid lelaki Tahun Enam dilaporkan meninggal dunia selepas pengsan ketika menyertai perhimpunan pagi di sebuah sekolah rendah di Kapar, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa yang berusia 12 tahun tiba-tiba tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan kecemasan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital berkenaan.
“Siasatan awal serta proses bedah siasat yang dijalankan tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.
“Setakat ini, punca sebenar kematian masih belum dapat disahkan dan kami sedang menunggu keputusan analisis makmal bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, pihak polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut (SDR).


