KUANTAN 7 Mei – Usaha melestarikan warisan seni kraf Tenun Pahang Diraja terus diperkasakan menerusi penganjuran pertandingan Piala Tunku Azizah (PTA) yang menawarkan ganjaran lumayan kepada para artisan negara.
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, pertandingan edisi kedua itu memfokuskan kepada elemen pemakaian tradisional lelaki iaitu kain samping, tanjak dan bengkung bagi mengangkat nilai warisan Malaysia ke peringkat global.
Titah baginda, penganjuran tersebut bukan sekadar pertandingan, malah platform untuk menghargai kemahiran dan ketelitian penenun dalam menghasilkan produk yang memenuhi piawaian seni tertinggi.
”Hadiah tempat kedua menawarkan RM20,000 manakala tempat ketiga RM10,000. Istimewanya kali ini, kita turut menyediakan kategori The Queen’s Choice dengan hadiah RM5,000 serta pelbagai hadiah penghargaan lain bagi menghargai usaha peserta,” titah baginda di Kompleks Muzium Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.
Paduka Baginda turut menyeru semua lapisan masyarakat yang mempunyai bakat dalam seni tenunan untuk menyertai pertandingan tersebut bagi memastikan seni ini tidak ditelan zaman.
Peserta yang berminat boleh mendaftar sebelum pukul 5 petang, 22 Mei ini. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi Institut Kraf Negara (IKN) atau menghubungi urus setia di talian 012-4292549.


