PETALING JAYA: Keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT) MARA bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 22 Mei ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan bagi peringkat sijil, asasi dan diploma sesi akademik 2026/2027 itu boleh disemak bermula jam 12 tengah hari sehingga 31 Mei depan.
Semakan boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal rasmi UPUOnline atau aplikasi mudah alih UPUPocket dan MyGov.
”Calon yang berjaya perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran bermula 23 hingga 31 Mei di laman web institusi berkaitan sebelum surat tawaran rasmi dikeluarkan.
”Bagi pemohon yang tidak berjaya atau hanya menerima tawaran peringkat sijil, mereka dibenarkan mengemukakan rayuan menerusi UPUOnline dalam tempoh 10 hari bermula tarikh pengumuman,” kata kenyataan itu.
KPT turut menegaskan bahawa tawaran tempat adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian tidak akan dibenarkan.


