PUTRAJAYA 7 Mei – Tindakan berani dua lelaki warga Indonesia menawarkan khidmat cap keselamatan Imigresen palsu menerusi media sosial berakhir apabila mereka ditahan dalam satu operasi khas di Kuala Lumpur dan Selangor, Ahad lalu.
Suspek yang dikenali sebagai Padi dan Amir, masing-masing berusia 52 tahun, ditahan oleh pasukan dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas sebulan dipantau.
Sindiket berkenaan dikesan mempromosikan ‘perkhidmatan’ mereka melalui platform Telegram, WhatsApp dan TikTok dengan menyasarkan warga senegara yang tinggal lebih masa atau ingin memalsukan dokumen keluar masuk negara.
“Semakan mendapati salah seorang suspek (Amir) adalah merupakan individu yang telah disenarai hitam sebelum ini. Walaupun pernah dihantar pulang ke negara asal, dia dikesan menceroboh masuk semula ke Malaysia melalui pintu masuk tidak diwartakan semata-mata untuk meneruskan aktiviti haram ini,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam serbuan di Taman Kepong Indah dan Taman Dagang itu, pihak berkuasa merampas pelbagai peralatan termasuk mesin pencetak, komputer riba, serta 20 unit cap keselamatan Imigresen yang dipercayai palsu.
Kedua-dua suspek kini ditahan di Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda atau penjara, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


