KEMAMAN: Pemilik kediaman tular ‘Rumahku Rakitku’, A Bakar Che Ahmad, 71, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kampung Tebak, di sini, tengah hari tadi.
Allahyarham yang lebih mesra dikenali sebagai Pokwe, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.45 tengah hari di sisi ahli keluarga selepas bertarung dengan penyakit kanser hempedu.
Menurut anak sulungnya, Kamaruddin, 43, bapanya sebelum ini pernah menerima rawatan di Hospital Kemaman dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu selama hampir tiga minggu.
”Arwah baru sahaja dibenarkan pulang dari hospital tiga hari lalu. Walaupun keadaannya nampak stabil pagi tadi, namun kesihatannya merosot menjelang tengah hari sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di sini, petang ini.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebak kira-kira jam 6.20 petang dengan kehadiran lebih 100 ahli keluarga serta penduduk setempat.
Nama Pokwe menjadi tular pada hujung tahun 2022 selepas inovasi rumah terapung seluas 70 kaki persegi miliknya berjaya menyelamatkan harta benda keluarga daripada ditenggelami banjir. Rumah unik yang disokong 102 tong plastik itu dibina hasil ilham reban ayam terapung yang dihasilkan beliau pada 2019.


