IPOH: Seorang wanita warga emas ditemukan maut dengan kesan tetakan dalam kejadian tragis di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman, di sini, malam tadi.
Kejadian yang menimpa mangsa berusia 70 tahun itu hanya disedari sekitar jam 10 malam selepas polis menerima laporan mengenai penemuan mayat mangsa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, hasil pemeriksaan awal di lokasi mendapati terdapat kesan kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan mangsa.
“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan, kepala dan leher yang dipercayai akibat ditetak dengan senjata tajam.
“Polis turut menemukan sebilah parang di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan dalam kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad Najib memaklumkan, insiden berdarah itu dilaporkan sendiri oleh anak mangsa.
“Waktu sebenar kejadian masih dalam siasatan. Bagaimanapun, berdasarkan maklumat awal, ia dipercayai berlaku antara jam 4.45 petang hingga 10 malam iaitu tempoh kali terakhir mangsa dilihat sehingga mayatnya ditemui,” katanya.

