PETALING JAYA – Ikon berbasikal lebuh raya negara, Mohamed Harrif Salleh, memberi bayangan bersedia untuk membuat kemunculan semula dalam kancah perlumbaan trek kompetitif menjelang temasya Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.
Meskipun sudah mencecah usia 38 tahun, pelumba yang cukup sinonim dengan gelaran ‘Mamat’ ini menyatakan minat mendalam untuk kembali mencabar kehebatan di velodrom, khususnya bagi acara kegemarannya iaitu scratch race dan perlumbaan penyingkiran (elimination race).
Walaupun telah mengumumkan persaraan daripada pentas profesional awal tahun ini, Harrif mengakui bahawa jiwanya terhadap sukan berbasikal masih membara. Beliau kini giat mengekalkan tahap kecergasan dengan terlibat dalam sesi latihan serta menjadi rakan sparring kepada pelumba-pelumba muda berbakat.
”Saya masih aktif berlatih bersama barisan pelumba muda, jadi kita lihat sejauh mana perkembangan selepas ini. Niat untuk bersara sepenuhnya dari dunia lebuh raya mungkin ditangguhkan kerana keinginan untuk beraksi di trek kembali membuak-buak,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Harrif, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyarung jersi kebangsaan sekali lagi di pentas antarabangsa sekiranya prestasi dan catatan masanya masih kompetitif serta mampu menyaingi barisan pelumba elit sedia ada.
Buat masa ini, fokus utama pemenang pelbagai pingat emas Sukan SEA itu adalah memastikan fizikalnya sentiasa berada pada tahap optimum sambil menyumbang khidmat bakti membantu pembangunan pelumba pelapis negara.

