KUANTAN, 17 Ogos – Skuad futsal Court Soccer bakal beraksi dalam karnival futsal Milo-Hidup Bola 2023 Zon Utara yang bermula esok di Kedah.
Karnival itu diadakan di De Futsal Centre, Alor Setar.
Sebanyak 48 pasukan dijadualkan mengambil bahagian dalam karnival berkenaan.
Court Soccer Tanjung Lumpur / Indera Mahkota adalah satu-satunya pasukan dari Pahang yang beraksi dalam karnival anjuran jenama minuman bertenaga terkenal itu.
Untuk karnival kali ini, skuad Court Soccer menerima tajaan dari LA Lighting, Jalan Beserah, Kuantan.
Pemilik LA Lighting, Raymond @ Rahman Ang berkata, sumbangan penajaan itu adalah sebagai pembakar semangat kepada skuad dibarisi anak muda berbakat.
“Kami ingin melihat pasukan ini pergi lebih jauh dalam sukan futsal dan saya nampak mereka ada potensi.
“Jadi, wajar diberi sokongan dan penghargaan kepada mereka.
“Tambahan pula, mereka membawa nama Pahang dan bandar raya Kuantan dalam karnival itu,” katanya.
Selain LA Lighting, skuad Court Soccer turut menerima tajaan daripada orang perseorangan bagi membiayai kos mereka menyertai karnival itu.- nasionalkini.my
