in

Premis jual ‘ayam tebuk’ tiada sijil halal : JAIS

Ayam segar
Gambar hiasan... tular di media sosial berhubung dakwaan 'ayam tebuk ada sijil halal' di pasar raya di Banting.

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan jualan ‘ayam tebuk’ di pasar raya Bukit Changgang, Banting tidak mempunyai sijil halal yang sah.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pengesahan itu diperoleh menerusi Seksyen Penguatkuasaan Halal JAIS bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) yang memeriksa premis didakwa semalam.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, premis terbabit didapati bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

“Premis juga didapati melakukan penyalahgunaan Logo Halal Malaysia kerana mempamerkan Logo Halal tanpa memiliki SPHM yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan dan tindakan lanjut dibuat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala hukuman bagi suatu pertubuhan perbadanan ialah denda tidak melebihi RM200,000.

Sehingga kini tegas beliau  sembilan skim pensijilan halal yang ditawarkan oleh JAKIM iaitu skim produk makanan dan minuman, premis makanan, kosmetik, farmaseutikal, barang gunaan, logistik, rumah sembelihan, pengilangan kontrak dan peranti perubatan.

Sehubungan itu, katanya, permohonan SPHM boleh dibuat melalui laman sesawang www.halal.gov.my.

 orang awam dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa membeli barang keperluan harian dengan mengutamakan produk yang mendapat pensijilan halal.

Mohd Shahzihan memberitahu, sebarang keraguan mengenai status atau logo halal pada produk atau premis, bolehlah membuat semakan terus melalui portal halal JAKIM di laman sesawang www.halal.gov.my.

Sebarang penyelewengan status halal dan penyalahgunaan logo itu, aduan juga boleh dibuat kepada Seksyen Penguatkuasaan Halal JAIS di talian 03-5514 3726/3760 atau talian hotline 011-5582 0212.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung dakwaan ‘ayam tebuk ada sijil halal’ di pasar raya berkenaan. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 07 28 at 9.45.34 PM

UMT harum nama negara di Festival Tarian Antarabangsa, Bulgaria bawa pulang tiga anugerah istimewa

pahang tanah rizab

134,183 hektar tanah di Pahang akan diwarta rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah