Adam Aariz
KUALA LUMPUR: Platform e-dagang gergasi, Shopee memberi jaminan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap laporan terdapat “anak patung seks” seakan kanak-kanak, dijual di platform itu.
“Terima kasih atas laporan anda. Jangan risau, kami telah maklumkan pasukan berkaitan bagi mengambil tindakan lanjut,” kata Shopee menerusi ciapan di Twitter.
Syarikat itu turut menasihati pengguna agar membuat laporan sekiranya menemui penjual atau senarai produk yang tidak mematuhi polisi Shopee.
“Anda boleh membantu kami dengan melaporkan mereka ya,” katanya.
Terdahulu, warga maya kecoh apabila pengguna platform itu membangkitkan kegusaran mengenai penjualan patung berkenaan , yang disifatkan sebagai “menjijikkan”.
Anak patung menyerupai kanak-kanak itu dijual pada harga RM1,500, dan didakwa kaum Melayu adalah pembeli teramai bagi produk berkenaan.
“Kawan saya melayari Shopee dan ternampak patung seks menyerupai kanak-kanak itu dan cuba teka populasi manakah yang membelinya?
“Sudah tentu meleis (Melayu). Memang berpuas hati? Ini sangat ‘tenat’ dan ‘menjijikkan’,” kata Masitah@69 di Twitter yang turut melampirkan pautan ke platform berkenaan. – nasionalkini.my