Oleh Luth Adwa
MUAR, 25 Jun – Tempoh reman suspek disyaki terbabit dalam kejadian pembunuhan kejam ibunya menggunakan kapak di Taman Temiang Utama pada Ahad lalu dilanjutkan sehingga 1 Julai ini.
Majistret, Nurfarah Syahidah Mohd Noh, membenarkan tempoh tahanan reman ke atas suspek berusia 47 tahun itu dilanjutkan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata, lanjutan itu dibuat susulan tempoh reman seminggu terhadap suspek bermula 19 Jun lalu berakhir hari ini.
Beliau berkata, lanjutan reman dibuat untuk melengkapkan siasatan dan merujuk kes kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, suspek disyaki membunuh ibunya berusia 73 tahun dengan beberapa kali menetak kepala wanita itu menggunakan kapak.
Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menegur suspek kerana membuat bising menyebabkannya mengamuk dan memukul kepala wanita berkenaan dengan menggunakan senjata tajam itu.
Mangsa terbunuh di tempat kejadian iaitu di rumah mereka selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta leher.
Siasatan awal polis mendapati suspek mempunyai rekod psikiatri lampau dan pernah menjalani beberapa rawatan sebelum ini.
Polis turut merampas sebilah pisau dapur dan kapak yang disyaki digunakan lelaki terbabit dalam kejadian itu. – nasionalkini.my