in

Dua teratas Liga Super, KDA FC enggan berasa selesa

2153518

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain enggan berasa selesa dan menyifatkan perjalanan Liga Super 2023 masih lagi jauh walaupun pasukannya kini berada di kedudukan kedua liga selepas tujuh perlawanan.

Menurutnya, Sang Kenari perlu terus mengekalkan momentum pada setiap perlawanan jika mahu kekal berada di kelompok atasan liga super sehingga penghujung musim ini.

“Kita berada di nombor dua tapi kita masih ada baki 19 perlawanan, Kalau pada perlawanan ke-26 kita berada di dua teratas liga itu memang kita antara terbaik.

“Jauh lagi perjalanan kerana kita masih perlu terus mendaki,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman selepas menyaksikan KDA FC menang tipis 1-0 ke atas Penang FC pada aksi derbi utara pada malam Rabu.

Sang Kenari berjaya memungut tiga mata penting selepas menang hasil jaringan Willian Lira pada minit ke-64 walaupun beraksi bersama 10 pemain selepas layangan kad merah kepada pertahanannya, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman pada minit ke-53.

Kemenangan itu menyaksikan KDA FC berada di tangga kedua dengan 16 mata selepas mencatatkan lima menang, satu seri dan satu tewas selepas tujuh perlawanan.

Sementara itu, mengulas perlawanan menentang Penang FC pula, Nafuzi menegur sikap pemainnya yang dilihat tidak agresif terutamanya pada separuh masa pertama.

Beliau berharap sikap yang ditunjukkan oleh pemain Sang Kenari adalah kali terakhir ditunjukkan oleh mereka kerana mampu memberikan kelebihan kepada lawan untuk memberikan tekanan kepada pasukannya.

“Prestasi yang ditunjukkan pada separuh masa pertama diharapkan kali terakhir dipamerkan oleh pemain kerana kita bernasib baik tidak bolos, kita (bermain) ‘lazy football’.

“Kita tengok pemain banyak tidak bergerak, dari segi tekanan kita terlalu banyak memberi ruang kepada lawan. Pada waktu rehat kami perbetulkan keadaan dan (akhirnya) berjaya untuk merobek gawang gol lawan,” ujar beliau.

Penolong Ketua jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid pula mengakui bukan perkara mudah untuk berdepan sebuah pasukan yang dibarisi pemain berkualiti seperti KDA FC di laman lawan.

“Kita tahu bukan mudah untuk mengatasi lawan yang beraksi dengan 10 pemain kadang-kadang mereka akan lebih berdisiplin dan berjaya mendapatkan gol, jadi kita cuba untuk dapatkan semula satu jaringan, peluang ada tapi gagal untuk menterjemahkan kepada gol,” kata Manzoor Azwira.

Sang Kenari seterusnya akan terbang ke Stadium Sultan Ibrahim untuk bertemu juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim manakala Harimau Kumbang pula menerima kunjungan PDRM FC pada Ahad ini bagi aksi kelapan Liga Super 2023.

Sumber: Sinar Harian

2153978

Cooper masih dapat kepercayaan

2153512

Kepala pemain Ajax cedera dibaling objek