PETALING JAYA, 1 Ogos – Seorang wanita warga emas terpaksa menanggung kerugian lebih RM1.8 juta selepas terpedaya dengan penipuan tawaran kerja sambilan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, wanita berusia 62 tahun membuat laporan polis di Petaling Jaya selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan.
Beliau berkata, pada Jun lalu, sewaktu berada di rumah, mangsa berminat dengan tawaran kerja sambilan di Telegram yang menjanjikan pulangan komisen sebanyak 30 peratus.
“Suspek kemudiannya menawarkan kepada mangsa untuk menyertai kerja sambilan melalui laman sesawang bagi penugasan pembelian mata wang krypto.
“Pada permulaan tugasan pertama dan kedua, mangsa mendapat pulangan seperti yang dijanjikan namun, bagi tugasan berikutnya bermula dari 13 Jun sehingga 27 Julai lalu, mangsa melakukan 110 kali pindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek bagi tujuan melengkapkan tugasan dan tidak menerima pulangan komisen yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata, keseluruhan wang yang dipindahkan berjumlah RM1,835,201 di mana mangsa menyedari telah ditipu setelah suspek masih meminta bayaran untuk melengkapkan tugasan itu. – nasionalkini.my