in

Tidak perlu letak SPRM bawah EAIC

20230503 002337
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Seorang bekas pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyelar cadangan meletakkan agensi anti-rasuah itu bawah bidang kuasa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), menyifatkannya sebagai ‘langkah yang kurang bijak’.

Datuk Bahri Mohd Zin, yang memainkan peranan penting dalam siasatan SRC International Sdn Bhd, juga berkata langkah itu akan membazirkan dana awam kerana SPRM sudah dipantau oleh lima badan, yang mana kerajaan sudah berbelanja besar ke atasnya.

Lima badan itu terdiri daripada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, serta Panel Penilaian Operasi.

Bahri, bekas pengarah bahagian operasi khas, juga berkata setiap agensi penguatkuasaan mempunyai jabatan tatatertib sendiri.

“Tidak masuk akal apabila jabatan-jabatan ini gagal berfungsi, kita tubuhkan pula badan lain untuk mengambil alih peranan mereka atau dalam kes ini, meletakkan (SPRM) bawah bidang kuasa EAIC.

“Apa yang kita perlu lakukan adalah mempertingkatkan jabatan disiplin dan memberi mereka lebih kuasa,” katanya kepada FMT.

Pada Selasa, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan meletakkan SPRM bawah bidang kuasa EAIC telah dibuat semasa mesyuarat pertama jawatankuasa pro-tem.

Jawatankuasa itu bermesyuarat untuk membincangkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan badan baharu untuk menyelia dan menyiasat semua aduan terhadap badan penguatkuasa undang-undang.

Pada masa ini, terdapat 21 agensi penguatkuasaan yang disenaraikan bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009, dengan SPRM dikecualikan melalui peruntukan bawah Subseksyen 1(5) Akta tersebut.

Bahri berkata, kerajaan memberikan tumpuan kepada isu yang salah, sebaliknya perlu melihat ke arah memperkasakan lagi SPRM. – nasionalkini.my

20230503 204423

9 maut kejadian tembakan rambang di sekolah

20230504 075804

Langkah kanan Harimau Muda