KUANTAN, 19 Mei – Masalah kemalangan disebabkan pemandu mabuk boleh dikurangkan jika kerajaan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) berani mengambil tindakan lebih drastik.
Antaranya ialah dengan mengawal pengeluaran lesen premis menjual minuman beralkohol di sesuatu kawasan penempatan penduduk.
Pengarah Urusan Kumpulan Nadi Iman Medical, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, pertimbangan bagi kelulusan lesen premis menjual minuman keras perlu mengambil kira pola penduduk setempat.
“Jika sesuatu kawasan itu mempunyai majoriti penduduk beragama Islam, adalah lebih elok jika PBT tidak meluluskan lesen bagi menjual arak secara berlebihan.
“Kita bimbang jika terlalu banyak premis menawarkan minuman keras dibenarkan beroperasi di kawasan terbabit, akan mencetus gejala kurang sihat,” katanya.

Dr Abdul Rasid juga mencadangkan agar premis atau kedai menjual minuman keras ‘dalam bentuk fizikal’ juga perlu dikurangkan dan golongan peminum arak boleh meneruskan aktiviti mereka dengan membeli minuman beralkohol secara dalam talian.
“Saya fikir jika premis baru tidak dibuka, ia tidak menjejaskan golongan yang minum arak untuk mendapatkan bekalan.
“Mereka boleh tempah atau beli menggunakan pelbagai platform dalam talian.
“Jika tidak ada keperluan untuk mengeluarkan lesen pembukaan kedai atau premis baru,” ujarnya.
Dia juga berharap pemantauan secara lebih proaktif dilakukan pihak berkuasa yang berkenaan bagi memastikan tidak berlaku penyeludupan minuman keras secara haram di kawasan majoriti penduduk muslim.
Katanya, kegiatan meminum minuman keras bukan saja membabitkan warga tempatan bukan muslim, tetapi turut menjadi amalan dalam kalangan pekerja warga asing.
“Kalau tak diambil tindakan tegas, inilah akan menjadi punca pelbagai jenayah sosial lain.
“Jadi, kena tegas dalam menguatkuasakan undang-undang dan jangan terlalu ‘memberi muka’ kepada kumpulan ini,” katanya. – nasionalkini.my