KUALA SELANGOR, 11 Ogos – Abang sulung kepada bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar meninggal dunia kerana masalah usus malam tadi.
Allahyarham Hamzah Omar, 68, menghembuskan nafas terakhirnya jam 8.30 malam di rumah pusaka keluarga di Kampung Pinang, Sungai Burong Tanjong Karang di sini.
Noh berkata, anak sulung daripada 15 beradik itu menerima rawatan di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam pada jam 3 petang.
“Bagaimanapun, hospital meminta ahli keluarga membawa pulang abang saya yang mempunyai masalah usus ke rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.
Allahyarham Hamzah adalah bekas pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang, meninggalkan seorang isteri, dua anak dan seorang cucu.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Madrasah Haji Omar dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Dua, Sungai Burong jam 10.30 pagi tadi.- nasionalkini.my