KUALA LUMPUR: Seramai 374 peniaga dikenakan tindakan kerana didapati gagal mematuhi undang-undang sepanjang bulan Ramadan lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, operasi berkenaan diadakan bermula pada 23 Mac dan berakhir 21 April lalu.
“Ops Pantau telah diadakan secara seragam di seluruh negara dengan lokasi tumpuan seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, kedai runcit dan aktiviti penjualan secara dalam talian.

“Kesemua peniaga terlibat melakukan pelbagai kesalahan dengan nilai keseluruhan kompaun berjumlah RM60,200.
“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 1,127 aduan oleh pengguna telah diterima oleh pihak kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azman Adam berkata, pemeriksaan di bawah operasi itu antara lain memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara.

“Antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, penjualan barangan tiruan atau cetak rompak.
“Selain itu pemantauan juga diteruskan terhadap barangan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2023, isu halal dan penjualan barangan keperluan perayaan tersebut.” ujarnya.

Jelasnya, operasi tersebut diadakan bertujuan memastikan tahap pematuhan yang tinggi oleh semua peniaga serta mewujudkan persekitaran perdagangan yang kondusif di samping membantu rakyat Malaysia Madani mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup terutama sepanjang bulan Ramadan lalu dan Aidilfitri.
“KPDN akan terus menggiatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan setiap hari di seluruh negara serta meningkatkawn semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang dikuatkuasakan kementerian walaupun tempoh pelaksanaan Ops Pantau 2023 telah berakhir,” tegasnya. – nasionalkini.my


