Oleh Yusuf Shafie
JASIN, 10 Jun – “Setiap malam waktu hendak tidurkan Naysa, saya selalu minta maaf dengannya kerana tak dapat jadi ibu yang baik, susah nak faham keadaan dia dan kesakitan yang ditanggungnya.
“Namun, saya dan suami reda menerima ujian Allah ini dan akan terus menjaga anak orang kurang upaya (OKU) istimewa kami ini sehingga ke akhir hayathayat.”
Itu perasaan hiba dikongsikan, Amyliah Farahimah Afian, 28, membesarkan anak sulungnya itu yang menjadi OKU sejak lahir berpunca daripada kegagalan fungsi saraf akibat lemas dalam kandungan ketika proses kelahiran tiga tahun lalu.
Menurutnya, selepas 19 jam ditempatkan di unit rawatan intensif neonatal (NICU), doktor mengesahkan keadaan anak perempuannya itu tidak normal kerana pergerakan dan tumbesarannya berbeza daripada bayi normal yang lain.
Amyliah Farahimah berkata, penyakit ‘neonatal encephalopathy with infantile spasm and Global Development Delay (GDD)’ dihidapi Naysa memerlukan penjagaan sepenuh masa menyebabkan dia terpaksa berhenti kerja sebagai juruteknik kilang.
“Saya tiada pilihan kerana sehingga kini setelah tiga tahun, Naysa memerlukan tumpuan sepenuh masa kerana tidak mampu bergerak, bercakap, minum atau makan sendiri selain perlu menjaga anak bongsu kami, Han yang baharu berusia setahun.
“Selain mengidap sawan, dia juga mengalami masalah tulang belakang bengkok dan tulang pinggul senget kesan daripada penyakitnya itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Saujana Tehel, di sini hari ini.
Menurut Amyliah, hanya Allah SWT dan kenalan senasib menjadi tempat dia dan suami Mohd Khairul Hakimi Mohd Sabri, 28, yang bekerja sebagai operator kilang mengadu nasib termasuk memikirkan sumber kewangan untuk menyediakan keperluan anak sulungnya itu.
“Tapi sampai ke hari ini, kami masih belum mampu menyediakan kelengkapan khas itu yang dianggarkan bernilai hampir RM10,000 kerana semua simpanan digunakan untuk kos rawatan termasuk tiub saluran susu selain kos ulang alik ke hospital.
“Sebelum ini, kami gunakan stroller (kereta sorong bayi) untuk pergerakan Naysa namun ia tidak lagi sesuai kerana Naysa sudah besar, malah dia tidak boleh didukung seperti kanak-kanak lain kerana mempunyai saluran tiub dipasang pada perutnya,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional miliknya di nombor 0412641000098301. – nasionalkini.my.