in

‘Kita bukan nak jadi popular’ – Ayob Khan

250923 polisAyob
TIMBALAN Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara September 2023 di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan mahu menjadi popular ke atas apa juga tindakan sebaliknya hanya melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan dengan tegas, ikhlas dan profesional.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebagai pasukan penguat kuasa, PDRM tidak perlu takut, bimbang atau gusar dalam mengambil tindakan.

“Selagi tindakan itu mengikut undang-undang, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan ikhlas dilaksanakan tanpa ketakutan dan berpihak  kepada mana-mana, tidak perlu bimbang.

“Pasukan PDRM mungkin akan dikritik dan ditohmah atas dakwaan tidak menjalankan tugas secara profesional atau siasatan serta tangkapan ‘terpilih’. Sudah menjadi satu budaya di Malaysia apabila PDRM dan lain-lain agensi penguatkuasaan menjalankan siasatan dan tangkapan ke atas sesuatu pihak, akan dituduh dan ditohmah,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Perhimpunan Bulanan yang diadakan di Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut,  Ayob Khan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada enam pegawai bank tempatan sebagai tanda penghargaan PDRM atas sumbangan serta peranan mereka selama ini.

Manakala 34 pegawai polis dan pegawai awam dari pelbagai Jabatan PDRM di Bukit Aman pula dianugerahkan sijil sama atas prestasi cemerlang dalam perkhidmatan masing-masing.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, pemantauan lebih ketat juga akan dilakukan pengurusan tertinggi PDRM bagi kes-kes salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM.

“Bagi mengatasi perkara ini, ketegasan dan keberanian diperlukan dalam penyeliaan melalui kaedah pemantauan lebih ketat.

“Sebagai penyelia, bermula daripada pucuk pimpinan sehingga ke bawah akan dipertanggungjawabkan sekiranya gagal menyelia dan mengambil tindakan ke atas pegawai dan anggota di bawah seliaannya yang terlibat dalam salah laku.

“Tidak ada lagi alasan dalam kalangan penyelia-penyelia untuk tidak mahu mengambil sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terlibat dalam salah laku kerana mereka mahu popular atau menjadikan aspek ‘esprit de corps’ sebagai keengganan mengambil tindakan tegas,” jelasnya. -nasionalkini.my-

 

 

 

 

 

 

Ketua mafia mati akibat kanser

“Betul, nama saya Pelangai”