KUALA LUMPUR, 27 Julai – Kerajaan Perpaduan hari ini mengumumkan jaminan pembiayaan rumah sehingga 120 peratus dari harga rumah bernilai sehingga RM300,000.
Bernama melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menambah baik skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus itu yang akan membolehkan semua kos pemilikan rumah ditampung melalui pinjaman.
“Ini termasuk jumlah pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaian dan insurans serta pembelian perabot dan kos ubah suai,” kata beliau semasa mengumumkan inisiatif ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’ di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, berikutan penambahbaikan SJKP berkenaan, jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion akan disediakan.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan sedang mengusahakan Pelan Tindakan Perumahan Negara yang antaranya merangkumi keperluan bekalan rumah berpandukan metrik seperti catuan harga rumah median untuk pendapatan median.
Anwar berkata, penyediaan perumahan awam juga diteruskan di samping merancakkan pasaran sewa sebagai usaha memenuhi keperluan perumahan. – nasionalkini.my