LENGGONG, 30 Julai – Kerajaan Perak telah mengambil alih pengurusan Lembah Lenggong yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Utusan melaporkan, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin berkata, pengurusan tapak warisan dunia itu diambil alih daripada Jabatan Warisan Negara berkuat kuasa Januari lalu.
“Sebelum ini semua urusan bagi Tapak Warisan Dunia Lembah Lenggong adalah di bawah Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Kini, kita minta kerajaan negeri yang menguruskannya seperti mana yang terkandung dalam dokumen yang kita hantar ke UNESCO. Ia sama seperti yang berlaku di Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui pada program Warisan@Lenggong di Dataran Lenggong di sini hari ini.
Program diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-11 Pengikhtirafan Lembah Lenggong Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Festival Memartabatkan Seni Budaya ‘Warisan Akar Umbi’ itu dirasmikan Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing.
Terdahulu, pada majlis tersebut, King Sing menyerahkan watikah pengurusan Tapak Warisan Dunia Lembah Lenggong kepada kerajaan negeri yang diwakili Saarani.
Mengulas lanjut beliau berkata, dari segi peruntukan kewangan bagi kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan tapak warisan itu, kerajaan negeri boleh membuat permohonan bagi tujuan tersebut. – nasionalkini.my

