in ,

Kelantan agih peruntukan sama kepada ADUN pembangkang

adun kel
MOHD. Nassuruddin Daud (kiri) bersama Mohamed Fadzli Hassan semasa sidang media selepas mengumumkan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - Foto: Utusan

KOTA BHARU, 23 Ogos –  Kerajaan Kelantan jamin akan memberikan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk pembangkang.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, keputusan itu dibuat sebagai menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

“Kita putuskan akan beri peruntukan yang sama, ini berasaskan kepada apa yang disebut dalam al-Quran, jangan kerana kebencian kami kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil.

“Walaupun aliran politik yang berbeza, namun pilihan raya sudah selesai, yang ada hanyalah wakil kepada rakyat,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, PAS menerusi Perikatan Nasional (PN) memperoleh 43 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala dua kerusi dimenangi masing-masing satu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pada masa sama Mohd Nassuriddin turut memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu dan dilakukan secara berperingkat.

Katanya, perkara itu akan menjadi keutamaan selepas dipertanggungjawab mengetuai pentadbiran negeri itu.

“Kita akan cuba menyelesaikan masalah air kerana semua maklum masalah berkenaan, namun bukan hanya di Kelantan.

“Perkara itu akan menjadi keutamaan untuk diselesaikan secara berperingkat, selain itu, kita akan mengukuhkan sektor ekonomi melalui infrastruktur terutama pelabuhan, jaringan lebuh raya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selain meningkatkan sumber asli terutama mineral,” katanya. – nasionalkini.my

Pekebun sayur rugi hampir RM800,000 kena scam

RM400 untuk penjawat awam Kedah