KUALA LUMPUR, 9 Mei – Filem ‘Anwar: The Untold Story’ menyentuh hati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengangkat kisah beliau dalam perjuangan politik.
Anwar berkata, filem biopik itu juga mengingatkan beliau tentang perit dan beban ditanggung oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anaknya.
“Walaupun keseluruhan dialog dan penceritaan tidak sama secara total, namun isu dibangkitkan dalam karya berkenaan adalah kejadian sebenar.
“Salute (tabik) saya buat pasukan produksi yang pintar dan hebat kerana mampu meringkaskan penceritaan selama puluhan tahun kepada filem berdurasi kira-kira 90 minit,” katanya menerusi catatan dalam akaun Facebook milik beliau hari ini.
Semalam, Anwar bersama isteri menonton tayangan perdana filem itu di Didi Cinema Pavilion di ibu negara.
Ketibaan beliau ke panggung wayang itu disambut meriah dengan kehadiran orang ramai yang melaungkan ‘Reformasi’ yang menjadi simbolik kepadanya.
Turut hadir pada majlis anjuran DMY Creation yang juga pengedar rasmi filem itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Selain itu, kira-kira 250 tetamu kehormat termasuk selebriti terkenal turut hadir pada tayangan filem perdana berkenaan termasuklah Datuk Yusof Haslam, Datuk M Nasir, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan selebriti lain.
‘Anwar: The Untold Story’ ialah filem arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi yang akan ditayangkan di seluruh negara bermula 18 Mei ini.
Filem menelan kos RM10 juta itu dibintangi Farid Kamil Zahari yang menerajui watak utama sebagai Datuk Seri Anwar, manakala aktres Indonesia, Acha Septriasa membawa watak sebagai Dr Wan Azizah. – nasionalkini.my