KUALA LUMPUR, 27 Julai – Tiga usahawan OKU dinobatkan sebagai Ikon Usahawan Malaysia dalam Pusingan Akhir Program Liga Usahawan OKU Malaysia hari ini yang berlangsung meriah di Hotel Sunway, Kuala Lumpur.
Program inisiatif Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui Selangor Youth Community (SAY) yang disokong Yayasan Hasanah itu bertujuan membangunkan usahawan OKU melalui program usahawan yang berlangsung selama 18 bulan.
Pengurus Projek Liga Usahawan OKU Malaysia SAY, Abdul Azim Naim Rahman berkata,, program liga usahawan itu bermatlamat untuk meningkatkan tahap sosio ekonomi golongan berkenaan agar dapat menjana pendapatan melalui perniagaan.

“Kita ingin mewujudkan sebuah komuniti usahawan OKU yang saling membantu serta bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, usahawan tanjak, Nor Zaidah Abd Rahman yang dipilih sebagai juara Ikon Usahawan mengakui tidak menjangka kejayaan berpihak kepadanya..
Ibu kepada lima cahaya mata ini yang mengembangkan perniagaan tanjak buatan tangan mengakui memilih tanjak sebagai perniagaan kerana mahu mengangkat identiti orang Melayu.
Katanya tanjak adalah identiti Melayu yang membezakan dengan bangsa lain.
Dia yang memulakan perniagaan sejak lima tahun lalu.mengakui agak sukar untuk dia menjalankan perniagaannya dalam keadaan hanya bergantung kepada kerusi roda berikutan dilahirkan normal sebelum ini
Namun kini dia semakin selesa selepas perniagaan mendapat sambutan, akui wanita hebat yang kini berusia 57 tahun.

Akibat daripada kemalangan yang berlaku pada 27 April 2010, kedua-dua belah kakinya patah tidak lagi boleh berjalan secara normal seumur hidupnya.
Namun begitu, wanita hebat ini mengakui dia tidak menjadikan kekurangannya sebagai alasan untuk dia berputus asa dalam hidupnya.
Sebaliknya, dengan semangat yang dibekalkan menjadikan kekurangannya itu sebagai satu motivasi untuk melakar nama dalam bidang perniagaan seni kraf tangan.
Kini bertindak sebagai tenaga pengajar mengajar jahitan tanjak dan kraftangan di Politeknik Port Dickson, Kolej Komuniti Kuala Pilah dan Kolej Komuniti Jempol semakin selesa dengan dirinya yang baharu dan berhasrat mengemabngkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.
Selain Nor Zainah, dua lagi pemenang terdiri Lailatol Mawa Mohd Noh yang juga usahawan cenderamata dan tempat ketiga milik usahawan minyak wangi, Nurzakiah Dzulkifli.

Kesemua mereka membawa pulang piala, sijil dan geran perniagaan Program Usahawan OKU Malaysia (SAY Lead Pro) bernilai RM2,000.
Melalui program ini para pemenang dapat mengembangkan perniagaan menerusi akses pasaran baharu dan eksport.
Liga Usahawan OKU Malaysia merupakan inisiatif SAY, sebuah organisasi bukan kerajaan yang diasaskan Tengku Amir Shah. Ia disertai usahawan cacat fizikal, autisme, pekak, buta dan mental dari Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya. – nasionalkini.my

