Oleh Hajidah Miharbi
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Aktres, Shasha Abedul mengakui tidak terkesan dengan pandangan netizen terhadap dirinya yang kembali dengan penampilan asal meskipun baru pulang daripada menunaikan umrah, baru-baru ini.
Shasha yang berada di Tanah Suci selama sebulan itu menjalani ibadat puasa dan menyambut Aidilfitri di sana sebelum berangkat pulang ke tanah air pada hari raya keempat.
Katanya, dia tak goyah dengan komen-komen netizen kerana itu semua urusannya dengan Allah.

“Untuk saya, berhijab atau tidak bila balik dari menunaikan Umrah, itu antara kita dengan Allah dan hanya kita yang tahu apa tujuan kehidupan dan tahu niat kita apa yang perlu berubah dan buat.
“Untuk saya, secara jujurnya saya kena betulkan dalaman baru boleh buat (berhijab). Kalau tak boleh juga, kira tak ada makna kalau betulkan luaran dan dalaman masih macam tu juga,” katanya yang berharap dapat melaksanakan perubahan penampilan diri dengan keikhlasan hati.
Jelas Shasha, dia menyimpan niat untuk berpuasa di Mekah itu terdetik ketika menjalani ibadat puasa tahun lalu.
“Sebenarnya niat nak berpuasa di Mekah timbul puasa tahun lepas, saya ambil cuti selama sebulan untuk fokus kepada ibadat puasa.
“Bila dah dapat rasa nikmat berpuasa tanpa dibebani tugasan kerja, itu yang timbul niat nak berpuasa di sana dan alhamdulillah tahun ini Allah permudahkan segalanya.

“Saya pergi dengan mak cik dan ini adalah kali kedua saya buat umrah. Alhamdulillah semua okey sepanjang saya berada di sana, cuma minggu pertama saya masuk hospital sebab demam. Selepas seminggu sihat.
“Perasaan sedikit berbeza bila dapat duduk lama di sana. Saya dapat lihat perbezaan budaya di sana dengan Malaysia. Di Malaysia kita lebih fokus kepada raya selepas puasa tapi di sana mereka fokus kepada ibadah dan raya simple saja. Alhamdulillah saya dapat rasai pengalaman perbezaan budaya itu, memang best,” katanya.
Tambah Shasha, selama sebulan di sana dia dapat merasai satu pengalaman baharu.
Biarpun, tiada beza berpuasa di Malaysia atau di sana, namun gadis manis ini mengakui pelbagai cabaran terpaksa dilalui yang menguji kesabarannya sepanjang berada di sana.
“Kalau nak berbuka puasa di dalam masjid, kita kena pergi pada waktu tertentu atau pergi ikut jalan jauh. Paling ramai pada malam 27. Kalau nak pergi masjid untuk waktu Maghrib, waktu Zuhur lagi dah kena pergi ke sana,” ceritanya tentang suasana di Mekah.
Menyentuh mengenai kerjaya lakonan, kata Shasha penonton boleh melihat lakonan terbaharunya dalam filem Seindah Kasih The Movie, arahan Nik Amir Mustapha dan Atiff Zulkarnain yang ditayang di platform Tonton.

Dalam Seindah Kasih, Shasha melakonkan watak Nina pembantu kepada Sharifah, lakonan Siti Saleha.
“Itu adalah karakter yang susah dibawa. Cabarannya, waktu adegan untuk direct dalam konti yang kena cakap cam 1, cam 2. Itu memang mencabar sebab saya tak faham bahagian itu. Bila melakonkan adegan tersebut, baru saya faham bahawa kerja setiap orang ada cabaran.
“Ini juga merupakan kali pertama saya bekerja dengan Nik Amir dan Arif Zulkarnain. Saya suka dengan kerja dan karya mereka. Bekerja dengan mereka mudah dan komunikasi pun berjalan lancar.
“Apa yang mereka nak, saya bagi dan saya banyak berurusan dengan Ariff yang selalu berada di set. Nika ada di set, kadang-kadang saja,” katanya yang sudah lima tahun bergelar pelakon.

Namun jujurnya kata Shasha, dia pernah ‘stuck’ dalam fasa watak budak sekolah atau kolej saja. Sebagai pelakon yang bakal mencecah usia 27 tahun pada 9 Julai ini, dia mahu pisahkan karakter tersebut.
“Rasanya dah cukup melakonkan watak budak sekolah. Sekarang ini saya kena bawa watak baharu pula. Kalau balik-balik budak sekolah, tak tahu mana nak letak saya nanti.
“Kalau boleh saya nak watak yang lebih mencabar dan berkualiti. Sebagai pelakon yang bekerja dalam industri, perkara begitu kena dijaga.
“Sebelum bersetuju untuk berlakon, saya akan tengok skrip dulu, dengan siapa saya bekerja dan kemudian baru buat keputusan. Saya pentingkan skrip, jalan cerita, pelakon dan pengarah,” katanya. – nasionalkini my


