Oleh Ahmad Abd Hamid
HARI raya seminggu baru berkesempatan balik kampung di Bagan Datuk, Perak. Rutin sudah berubah, sejajar perubahan usia. Dulu setiap kali hari raya pertama pasti menyambutnya bersama ayah ibu dan keluarga.
Namun ayah ibu sudah lama tiada. Adik beradik sudah tiga orang pergi. Yang lain tinggal di ibu kota. Yang ada di kampung hanya kakak yang tidak dilupa dijengah setiap kali Aidilfitri.
Pagi Syawal disambut di ibu kota, menunggu kedatangan anak-anak. Dulu ayah ibu menunggu kepulangan penulis. Sekarang giliran penulis menunggu anak-anak di rumah pula. Lagi pun beri kesempatan anak-anak kakak balik berhari raya dahulu bersama keluarga.
Pada hari raya pekan ‘koboi’ Bagan Datuk yang sunyi lebih hidup berbanding hari biasa. Cuti hari raya yang seiring cuti sekolah tahun ini menghidupkan suasana pekan kecil di tebing Sungai Perak ini.
Ramai berkunjung ke Dataran Bagan Datuk, tempat bersantai sambil menyaksikan air Sungai Perak mengalir tanpa jemu.
Di dataran ini ada kawasan permainan untuk kanak-kanak. Ada kereta dan motor mainan, juga basikal untuk disewa. Di samping itu terdapat gerai menjual pelbagai makanan dan minuman. Pendek kata pada waktu seperti inilah bisnes sewa permainan dan jualan makanan boleh bernafas lega.
Pada hari biasa dataran sunyi. Sewa peralatan permainan kanak-kanak hambar. Jualan makanan dan minuman juga perlahan. Ramai penduduk lebih suka berada di rumah. Hanya anak cucu yang balik sempena hari raya atau cuti sekolah akan datang bersantai sambil mengabadikan gambar kenangan.
Bagan Datuk dianggap pekan kobi kerana ia sunyi. Terdapat hanya dua deret kedai di jalan utama memagari kiri dan kanan jalan. Memang sejak dahulu pekan ini sunyi kerana kedudukannya di penghujung, jalan mati di tebing Sungai Perak.
Kerana itu pekan ini tidak menjadi tumpuan orang luar memandangkan ia bukan laluan utama. Ini berbeza dengan pekan Simpang Empat di Hutan Melintang yang menjadi laluan utama dari Selangor ke Teluk Intan dan ke utara melalu jalan Sitiawan.
Kerana itu Hutan Melintang lebih maju dan meriah dengan bangunan rumah kedai, bank, hotel, stesen minyak serta pasar raya. Pekan ini sentiasa sibuk dengan lalu lintas dan sentiasa hidup siang atau malam.
Bagan Datuk disiytihar sebagai daerah penuh oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada 9 Januari 2017 setelah beberapa lama berada dalam pentadbiran Daerah Hilir Perak. Dengan perubahan ini menyaksikan beberapa projek pembangunan dilaksanakan sejajar kedudukannya sebagai sebuah daerah.
Beberapa fasiliti sukan dan pendidikan dibina di Bagan Datuk. Antaranya Kompleks Sukan Bagan Datuk. Selain itu ada Sekolah Sains Bagan Datuk, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Politeknik Bagan Datuk.
Satu lagi tarikan ialah masjid terapung dikenali sebagai Masjid Tuminah. Ia dianggap mercu tanda dan menjadi tarikan istimewa di pekan ini. Masjid terapung di atas Sungai Perak ini sudah mula digunakan.
Satu lagi projek yang dianggap besar dan diharap dapat membantu pertumbuhan pekan Bagan Datuk ialah jambatan Bagan Datuk-Sejagup merentas perjalanan 10.5 kilometer. Sepanjang 1.5 kilometer daripadanya merentasi Sungai Perak. Jambatan berharga RM406 juta yang menghubungkan Bagan Datuk dengan Sejagup ini dijangka dibuka hujung Mei.
Dengan siapnya jambatan ini, ia akan menjadi jalan pintas dari Bagan Datuk ke Sitiawan serta utara dan sebaliknya. Tidak perlu lagi berpusing melalui Hutan Melintang. Dari Sejagup akan terus memasuki jalan utama ke Sitiawan.
Untuk ke utara boleh memasuki Lebuh Raya Pantai Barat (LRPB) sehingga ke Bruas. Dari situ melalui jalan biasa hingga ke Changkat Jering sebelum memasuki Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Perlu dingat LRBP yang menghubungkan Banting di Selangor ke Changkat Jering belum siap sepenuhnya.
Diharap jambatan ini boleh menjadi daya penarik mereka yang hendak ke utara atau sebaliknya datang berkunjung ke Bagan Datuk sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi. Ini dapat membantu menghidupkan pekan sunyi ini.
Semoga lebih banyak projek pembangunan akan dibawa oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri bagi memeriahkan lagi Bagan Datuk. Sudah terlalu lama ia sunyi. Sewajarnya kesunyian itu bertukar ceria! – nasionalkini.my