MALAYSIA sebagai sebuah negara yang kaya dengan budaya dan seni warisan, memiliki sebuah harta seni kraf batik yang memikat hati. Batik adalah seni hias kain dengan corak tradisional, telah menjadi sebahagian besar dari identiti Malaysia selama berabad-abad.
Batik ini bukan sahaja sekadar pakaian atau kain semata-mata, tetapi jauh lebih dari itu. Setiap corak, warna, dan motif yang terpapar di dalamnya menceritakan nilai-nilai kehidupan yang diwarisi dari generasi ke generasi.
Salah satu pengusaha batik yang mengetengahkan Batik Malaysia adalah Gangga Ayu Batik Warisan yang merupakan sebuah jenama batik tempatan dari Felda Maokil 2 di Labi, Johor.
Menurut pemilik Gangga Ayu Batik Warisan Khatijah Mohamad, beliau bermula dari Program Pembangunan Kraf Komuniti 2021 oleh Kraftangan Malaysia bersama Felda Wilayah Segamat.

“Dari situ bermulanya perjalanan Gangga Ayu Batik Warisan. Saya membuka perusahaan ini adalah untuk mengetengahkan Batik Malaysia yang merupakan hasil warisan budaya yang kaya dengan pengaruh berbilang etnik dan tradisi,” katanya.
Beliau berkata, penghasilan Batik Malaysia ini memerlukan kreativiti dan ketekunan dalam mencipta karya seni yang indah ini. Proses pembuatan batik melibatkan teknik menggores lilin dan pewarnaan secara teliti dengan tangan, menjadikan setiap kain batik sebagai karya yang unik dan tidak ternilai.
“Keindahan batik Malaysia bukan sahaja berdasarkan penampilan fizikalnya, tetapi juga melalui cerita dan nilai-nilai yang diinspirasikan oleh budaya dan tradisi masyarakat. Setiap corak dan motif sering membawa cerita sejarah dan kepercayaan,” jelasnya.
Katanya lagi, pada tahun ini beliau telah menerima Sijil Standard Pematuhan Batik Malaysia dan pernah mendapat tempat ketiga Bakat Seni Kreatif Malaysia Piala Sri Pahang.

“Setakat ini cabaran kami adalah pengeluaran produk yang terhad disebabkan pembuatan secara manual dan kekurangan tenaga kerja mahir.
“Namun kami turut menyasarkan untuk membuat produk berasaskan Batik Malaysia seperti kaftan, tudung, seluar dan blouse. Kita bukan sekadar menghasilkan kain batik sahaja tetapi lebih lagi,” katanya.
Beliau berkata, impiannya adalah untuk memasarkan Batik Malaysia ke mata dunia agar lebih dikenali akan kecantikan dan keunikan batik malaysia dan dipasarkan secara meluas di negara luar.
“Saya juga bercadang untuk membuka kilang Batik Malaysia yang lebih besar masa akan datang. Insya-Allah kita akan perbesarkan lagi perusahaan ini pada masa akan datang,” katanya. – nasionalkini.my