in

Aziz teksi warnai bandar Teluk Intan, gelagatnya dalam ingatan

IMG 20230518 WA0003
Sebahagian bandar Teluk Intan, bandar ketiga terbesar di Perak

Oleh Ahmad Abd Hamid

LAUNGAN “Ipoh, Sabak, Kuala Lumpur” bergema setiap beberapa minit di stesen teksi Jalan Mahkota, Teluk Anson (Teluk Intan), Perak. Tukang pelaung bernama Aziz tidak jemu melontarkan rangkap kata itu setiap kali orang ramai lalu lalang di hadapan stesen teksi tersebut.

Tujuannya untuk menarik penumpang kerana mungkin ada di antara orang ramai itu yang perlukan khidmat teksi, terutama bagi perjalanan ke Ipoh, Kuala Lumpur dan Sabak Bernam.

Ada kala laungannya bersambut, ada kala orang ramai sekadar lalu sahaja.

Stesen teksi ini pula terletak berhampiran dengan stesen bas Lower Perak Motor Services (LPMS) yang mengendalikan perjalanan Teluk Anson—Hutan Melintang—Bagan Datuk. Juga perkhidmatan bas Hup Soon yang mengendalikan perjalanan Teluk Anson—Bidor dan Teluk Anson—Kampar.

Setiap kali penumpang turun daripada bas, laungan Aziz tambah kuat.

Harapannya agar ada di antara penumpang bas akan menyambung perjalanan menuju destinasi tertentu menggunakan khidmat teksi.

Ini kisah pada awal tahun tahun 60-an ketika penulis masih bersekolah rendah. Kebetulan abang penulis bersekolah dan menyewa bilik di Teluk Anson.

Setiap bulan aruah ayah akan ke sana membayar duit sewa dan penulis kerap ikut. Setiap kali itu jugalah penulis menyaksikan gelagat Aziz memanggil penumpang.

Nama Teluk Anson ditukar kepada Teluk Intan pada Januari 1982. Berkunjung ke bandar ketiga terbesar di Perak itu baru-baru ini dan melalui Jalan Mahkota, tergambar kembali dalam minda wajah Aziz yang penulis pernah temui berpuluh tahun lalu.

Dengan bertopi dan bercermin mata hitam Aziz yang berkulit agak gelap nampak seperti hero filem Hindustan.

Walau dalam keadaan panas dan terik matahari, Aziz tidak penat memanggil pelanggan. Dia sangat komited dengan tugasnya. Tempat rehatnya untuk melepas lelah cuma pondok yang menjadi pejabat kecil teksi berkenaan.

Ketika itu teksi merupakan pengangkutan pilihan bagi perjalanan jarak jauh dari Teluk Anson. Ini kerana teksi yang boleh memuat empat orang penumpang itu dianggap selesa dan lebih cepat sampai ke destinasi.

Teksi pula jenama ternama iaitu ‘Cap Bintang’, atau Mercedes.

Tambang teksi dari Teluk Anson ke Kuala Lumpur ketika itu hanya RM7 sahaja.

Jika hendak ke Sabak Bernam, perlu menyeberangi Sungai Bernam yang juga sempadan semula jadi Perak—Selangor.

Sungai ini sudah hampir dengan pekan Sabak Bernam, bersempadan dengan Hutan Melintang di Perak. Ketika itu tidak ada jambatan seperti sekarang, khidmat feri digunakan.

Untuk menyeberang mengambil masa, tambah jika banyak kenderaan, kerana feri yang ditarik bot hanya boleh muat antara empat hingga enam kereta pada satu-satu masa.

Tidaklah penulis pasti samaada terdapat persetujuan syarikat teksi dengan pengusaha feri agar teksi tidak perlu berbaris menunggu.

Atau mungkin apabila sampai di tebing sungai, penumpang turun daripada teksi dan menaiki feri. Apabila sampai di seberang teksi penghubung pula sedia menunggu.

Yang sedikit meletihkan untuk menaiki teksi ialah perlu menunggu teksi penuh empat orang. Jika tidak penuh, teksi tidak akan bergerak. Bukan mudah untuk mengisi penuh, ada kala cepat, ada kala lambat. Penumpang yang sudah sampai awal perlu menunggu lebih lama.

Jika nasib baik, ada penumpang dalam kumpulan empat orang yang hendak ke destinasi tertentu. Dalam keadaan ini, teksi terus sahaja bergerak. Atau mungkin ada tiga orang dalam satu kumpulan, jadi perlu menunggu seorang lagi. Biasanya tidak lama.

Kerana itu Aziz perlu bekerja keras tanpa jemu menarik pelanggan.

“Ipoh, Sabak, Kuala Lumpur” selalu disebut kerana kebiasaannya itulah tiga tempat yang menjadi destinasi penumpang daripada stesen teksi berkenaan.

Kini stesen teksi yang menjadi medan Aziz melantunkan suara sudah tiada. Stesen baharu berpindah ke lokasi lain.

Khidmatnya lebih kepada perjalanan jarak dekat. Ini mungkin kerana penumpang kini lebih suka menggunakan perkhidmatan bas ekspres ke Kuala Lumpur.

Stesen bas juga sudah sunyi tidak semeriah dahulu. Peredaran masa menyaksikan orang ramai lebih berdaya maju dan mampu membeli kereta atau motor. Kerana itu khidmat bas tidak lagi sepenting dahulu.

Aziz juga mungkin sudah tiada lagi di dunia ini. Namun kenangan menyaksikan gelagatnya menarik penumpang teksi masih terbayang di ruang mata. Dia adalah watak yang menceriakan dan mewarnai pekan Teluk Anson. – nasionalkini.my

20230518 095100

Hotel eksploitasi PATI kena serbu

IMG 20230518 WA0008

Sasar RM23.7 bilion nilai eksport aeroangkasa tahun ini – MITI