Oleh Ahmad Abd Hamid
INGIN merasai kelainan makan nasi buluh serta pilihan bermacam lauk pauk? Jika begitu, ayuh berkunjung ke Restoran Nasi Bamboo Sungai Klah, berhampiran Sungkai, Perak.
Tempat ini senang dicari. Jika melalui Lebih Raya Utara Selatan (PLUS), keluar di persimpangan Sungkai. Tidak jauh dari tempat keluar akan jumpa lampu isyarat di simpang tiga jalan lama.
Dalam 300 meter dari lampu isyarat sudah sampai ke tempat makan ini. Jika melalui jalan persekutuan (jalan lama) tidak perlu belok-belok. Restorannya tersergam di tepi jalan, tempat parkir disediakan.
Datanglah pada waktu yang anda suka antara pukul 10 pagi hingga enam petang setiap hari Sabtu hingga Khamis, hari restoran beroperasi. Jangan datang pada hari Jumaat yang merupakan cuti rehat.
Istimewanya di sini ialah nasi putih bukan dimasak cara biasa tetapi dikukus dalam buluh bersalutkan daun lerek. Kerana itulah restoran ini dinamakan Restoran Nasi Bamboo. Inilah juga keistimewaan yang menjadi penarik restoran ini.

Pengunjung cuma perlu memberitahu berapa nasi diperlukan. Jika lima, maka nasi dalam lima buluh diberikan. Setiap satu kandungan nasinya cukup mengenyangkan. Jika hendak tambah, minta sahaja.
Untuk lauk pauk pulak terdapat banyak pilihan, daripada yang bakar, goreng, masak berkuah semua ada. Sayur juga ada macam-macam, ada masak lemak, campur dan sebagainya.
Jika anda peminat lauk bakar, ada bermacam jenis ikan bakar selain daging bakar. Juga terdapat pelbagai jenis masakan ayam, daging, selain ada ikan masin dan telur masin. Pendek kata rambang mata memilih. Jika boleh semua hendak dirasa.
Yang memudahkan pelanggan ialah lauk pauk dan sayuran sudah siap disusun dalam pinggan. Pelanggan tidak perlu memilih sendiri lauk, sebaliknya ambil sahaja lauk yang sudah siap dalam pinggan menurut citarasa.
Untuk memudahkan membawa lauk, dulang ada disediakan. Lauk pauk disusun di dalam dulang seperti gaya kenduri kahwin di kampung dulu-dulu. Cuma jika orang ramai, kenalah beratur penjang memilih lauk pauk ini.

Nasi dan lauk pauk diatur di bahagian-bahagian atau segmen tertentu. Misalnya nasi satu bahagian, ikan bakar bahagian lain, begitu juga daging bakar dan sayur, juga telur masin dan ikan masin. Untuk mudah memilih, pelanggan boleh tinjau dahulu secara keseluruhan.
Penulis yang menjamu selera di Restoran Nasi Bamboo baru-baru ini kagum dengan suasana di restoran berkenaan. Kawasannya luas dan tempat letak kereta banyak. Ini kerana penulis datang pada hari biasa.
Restoran ini juga menjadi tumpuan ‘mat motor’, iaitu penunggang motosikal besar yang menjadikan restoran tersebut sebagai tempat persinggahan menjamu selera. Melihat kepada banyaknya logo kelab bermotosikal ini yang ditampal di sudut khas ternyata restoran ini ‘port’ kesukaan penunggang.
Ingin merasa keenakan nasi buluh dan pelbagai lauk pauk sambil melarikan diri daripada kesibukan kota? Datanglah menjamu selera di Restoran Bamboo Sungai Klah. Sekali rasa pasti tak lupa! – nasionalkini.my


