KUALA LUMPUR, 15 Mei – Orang ramai kini boleh membuat temu janji bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan pergigian di fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi aplikasi MySejahtera mulai hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, peluasan itu secara tidak lansung akan mempertingkatkan lagi kecekapan penyampaian perkhidmatan pergigian dan kemudahan akses ke klinik pergigian.
Bagaimanapun katanya, kaedah ‘walk-in’ untuk mendapatkan perkhidmatan pergigian masih lagi diteruskan.
“Orang awam boleh menempah perkhidmatan pemeriksaan kesihatan pergigian dan merancang lawatan ke fasiliti kesihatan pergigian mengikut kesesuaian masa melalui Perkhidmatan Pesakit Luar.
“Melalui peluasan sistem ini juga, KKM akan memperkenalkan fungsi ‘Automated Reminder’ melalui aplikasi MySejahtera yang mana, orang awam akan diberi notifikasi untuk hadir pada masa dan tarikh yang telah ditempah.

“Mereka akan diberikan pemeriksaan, perundingan atau rawatan pergigian pada janji temu pertama tersebut. Sekiranya rawatan susulan diperlukan, penetapan janji temu seterusnya akan diaturkan,” ujarnya.
Menurut Datuk Dr. Muhammad Radzi, bagi kes kecemasan pergigian seperti sakit gigi atau kecederaan pada tisu muka atau gigi, orang awam boleh hadir terus ke mana-mana klinik pergigian berdekatan bagi mendapatkan rawatan kecemasan tanpa perlu melakukan tempahan janji temu.
“KKM sentiasa komited dalam usaha ke arah mendigitalkan sistem kesihatan agar sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021 – 2025 KKM di bawah Teras Strategik Kedua iaitu Pemantapan Teknologi Baharu.
“Pendigitalan Sistem Janji Temu Perkhidmatan Kesihatan Pergigian melalui aplikasi MySejahtera ini berpotensi meningkatkan efisiensi sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan pergigian negara serta tahap kesihatan pelanggan,” katanya. – nasionalkini.my


