IPOH, 25 Julai – Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas heroin seberat 10.71 kilogram bernilai lebih RM88,900 dalam satu pemeriksaan di sebuah rumah di Jelapang, di sini, Ahad lalu.
Suspek berusia 30 dan 27 tahun itu dipercayai menjadi dalang satu sindiket pengedaran dadah di negeri ini dan turut ditahan adik perempuan suspek berusia 19 tahun yang tinggal bersama di rumah itu.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemeriksaan ke atas sebuah kereta di rumah berkenaan menemui dadah dipercayai heroin seberat 10.71 kilogram bernilai lebih RM88,900.
“Polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah. Berdasarkan siasatan, sindiket ini mula aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak September tahun lalu dengan menyasarkan pasaran tempatan di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, saringan air kencing mendapati pasangan tersebut positif dadah jenis morfin manakala lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemandu lori juga mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah. – nasionalkini.my


