Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 3 MEI – Seorang bekas polis direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun bersenjata berkumpulan terhadap seorang peniaga sayur di hadapan rumahnya di Taman Bukit Cheng, Melaka, di sini akhir bulan lalu.
Perintah reman itu terhadap lelaki berusia 35 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman Kompleks Mahkamah Melaka hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi berkata, dalam kejadian 12.05 tengah malam 29 April lalu, pengadu berusia 25 tahun didatangi dua lelaki termasuk suspek menaiki sebuah motosikal hadapan rumahnya.
“Ketika itu, pengadu hendak meletakkan kenderaan sebelum seorang daripada individu itu mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukannya kepada pengadu.
“Pengadu yang ketakutan terus menyerahkan wang tunai miliknya berjumlah RM400 dan sebuah telefon bimbit,” katanya.
Menurutnya, bertindak hasil maklumat, suspek berjaya ditahan polis pada pukul 12.30 tengah hari 2 Mei lalu dan berjaya pelbagai barangan kes termasuk satu unit bekas plastik yang mengandungi sebutir peluru.
“Peluru itu diakui miliknya yang disimpan suspek setelah dia ditamatkan perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) tujuh tahun lalu,” katanya. – nasionalkini.my