PORT DICKSON – Selepas hilang berat badan sehingga 32 kilogram, penyanyi era 1980-an, Ibnor Riza Ibrahim, 62, yang kini menghidap kanser limfoma tahap empat mula mengalami keguguran rambut selepas menjalani rawatan kemoterapi.
Dek kerana sedih melihat rambutnya yang banyak gugur, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu telah mencukur kesemuanya sehingga botak.
Menurutnya, dia reda dengan ujian dihadapi tetapi mengakui kini terputus sumber pendapatan kerana tidak lagi boleh bekerja.
“Sejak jatuh sakit, saya terpaksa tolak lebih 15 tawaran persembahan dan satu daripadanya di Singapura yang sepatutnya diadakan pada awal bulan lalu.
“Tapi nak buat macam mana, Allah uji saya dengan kesakitan. Ia sebagai peringatan, agaknya ada yang saya lalai dan terleka,” katanya ketika ditemui di rumahnya bersama isteri, Sarimah Sulaiman, 51,di Taman Intan Duyung, di sini pada Selasa.
Menurutnya, keadaan kesihatannya kini bertambah baik selepas dua kali menjalani rawatan kemoterapi.
Bagaimanapun katanya, badannya masih lemah dan selain rambutnya gugur, kulitnya juga kering kesan daripada rawatan dilakukan.
“Kalau ikutkan saya perlu jalani rawatan kemoterapi sebanyak lapan kali dan selepas itu baharu doktor akan tengok sama ada rawatan itu perlu diteruskan atau tidak.
“Sepanjang proses rawatan, empat kali air tulang belakang saya diambil dan sekali air tulang sum-sum yang sakitnya hanya ALLAH yang tahu,” ujarnya.
Malah pada peringkat awal diserang penyakit itu, kata Ibnor Riza, suaranya hilang biarpun ketika itu dia tidak batuk atau mengalami sakit tekak.
Ujarnya, doktor memberitahu peluangnya untuk pulih sepenuhnya berdasarkan rawatan dilakukan ialah 60 peratus dan selebihnya bergantung kepada kekuatan dirinya.
“Kanser ini ubat utamanya ialah diri sendiri. Saya kena lawan dan apa yang saya buat sekarang ialah jaga pemakanan.
“Sebenarnya sepanjang hidup, saya tak pernah diuji masalah kesihatan teruk macam ini. Saya akui kesilapan saya kerana kurang beri perhatian tentang kesihatan,” katanya.
Mengenang isteri dan seorang anak yang masih bersekolah perlu ditanggung, semestinya menjadi harapan dan doa Ibnor Riza untuk pulih.
Katanya, dia mahu bekerja semula dan tidak mahu terus meminta-minta.
“Saya kini bergantung dengan duit simpanan. Memikirkan diri yang tak mampu lagi cari rezeki buat keluarga ada kalanya membuatkan saya tertekan.
“Tapi saya bersyukur kerana ada pihak prihatin sudi membantu.Terima kasih kepada Yayasan Artis Vateran Malaysia, Persatuan Karyawan Malaysia, rakan-rakan artis, Baitulmal, peminat dan pihak lain yang telah membantu.
” Ia memberi saya kekuatan dan sedikit kelegaan,” katanya.
Sumber Berita : Sinar Harian