in ,

Taliban larang wanita sertai sambutan Aidilfitri

taliban

KABUL, 23 April – Taliban sekali lagi mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa apabila melarang wanita di negara itu menyertai Hari Raya Aidilfitri di dua wilayah di Afghanistan.

Dekri terbaharu yang dikeluarkan pemerintahan Taliban itu bertujuan untuk menghapus hak dan kebebasan kaum wanita di negara tersebut.

Dalam notis pemberitahuan berkenaan, dinyatakan haram bagi wanita yang keluar beramai-ramai pada hari raya Aidilfitri di wilayah Takhar, timur negara itu dan Baghlan, utara Afghanistan.

Larangan berkenaan dikuatkuasakan serta merta selepas mendapat aduan berhubung percampuran gender berlaku ketika sambutan berkenaan.

Sebelum ini, Taliban melarang penyertaan keluarga dan wanita daripada mengunjungi restoran mempunyai taman atau kawasan hijau di wilayah Herat, barat laut Afghanistan.

Selepas mengambil alih pentadbiran pada Ogos 2021, Taliban berjanji untuk mengamalkan peraturan yang sederhana dan menghormati hak wanita dan golongan minoriti.

Namun janji berkenaan sekadar bualan kosong apabila Taliban pada Mac tahun lalu mengharamkan pelajar perempuan meneruskan persekolahan ke peringkat menengah.

Lebih dahsyat, pentadbiran Hibatullah Akhundzada itu turut melarang wanita daripada meneruskan pengajian di peringkat universiti dan melarang wanita terlibat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Wanita di negara itu juga dilarang berada di tempat awam dan berada di taman serta mengunjungi gimnasium walaupun khas untuk kaum tersebut sahaja.

Larangan berkenaan mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa di saat negara itu berdepan krisis kemanusian paling teruk di dunia selain berdepan masalah ekonomi. -Agensi

Untitled design 2

COVID-19: Melaka keluar amaran lonjakan kes harian

Untitled design 3

Bersatu tetap ‘bekerja’ walaupun akaun disita