in ,

Bersatu tetap ‘bekerja’ walaupun akaun disita

Untitled design 3

KUALA LUMPUR, 23 April –  Bersatu yakin jentera pilihan raya akan tetap berjalan lancar pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, biarpun akaun parti disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Penerangannya, Datuk Razali Ibrahim berkata, Bersatu telah belajar daripada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila dikenakan perintah pembubaran sementara selama 30 hari, kira-kira sebulan sebelum tarikh pengundian 9 Mei 2018.

razali idris 744x370 1
Walaupun berlaku rampasan akaun Bersatu, namun tidak menghalang pihaknya ‘bekerja’ berikutan memiliki ramai sukarelawan

“Kali ini juga sama. Walaupun disita tetapi saya lihat sokongan kita meningkat apabila didesak dalam pelbagai cara dan dituduh dalam banyak perkara.

“Kita cuma nak tanya kenapa hanya Bersatu sahaja yang disiasat untuk aliran masuk dana tetapi bukan pihak lain,”katanya.

Mengulas lanjut. Razali berkata, sehingga kini tiada satu bahagian ditutup berikutan masalah kewangan yang dihadapi.

Malah beliau menjelaskan  bahagian parti telah memulakan operasi mengumpul dana mereka sendiri bagi menjalankan aktiviti.

“Kami tetap beroperasi seperti biasa. Tiada satu bahagian pun ditutup kerana krisis kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, Bersatu akan mengambil semua langkah undang-undang yang diperlukan ke atas akaun yang dirampas.

bersatu
Bersatu yakin jentera pilihan raya akan berjalan lancar pada pilihan raya negeri (PRN), biarpun akaun parti disita SPRM

“Mahkamah harus memutuskan sama ada tindakan yang diambil oleh SPRM adalah sah dan adil atau tidak.

“Pembiayaan politik tidak menyalahi undang-undang di negara kita setakat ini, dan tidak ada bukti Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan kontraktor atau pembiaya memberi sumbangan kepada parti kita,” katanya.

Beliau menjelaskan walaupun berlaku rampasan akaun namun tidak menghalang pihaknya ‘bekerja’ berikutan memiliki ramai sukarelawan.

“Rampasan akaun itu boleh menjejaskan kempen kami dalam enam pilihan raya negeri akan datang, tetapi ia tetap tidak akan menghalang kami kerana mempunyai ramai sukarelawan,” katanya. -nasionalkini.my

taliban

Taliban larang wanita sertai sambutan Aidilfitri

IMG 20230423 112539

Tiga pasukan Court Soccer ke separuh akhir IKTBM Mubarak Cup