Bali, 16 April – Indonesia bercadang memperkenalkan cukai baharu kepada pelancong susulan beberapa insiden berkelakuan buruk, sekali gus melanggar undang-undang atau adat membabitkan golongan itu.
Memetik laporan Jakarta Post, Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Uno, berkata, kerajaan kini sedang meneliti kemungkinan untuk memperkenalkan cukai berkenaan.
“Kajian ini dijangka selesai menjelang beberapa minggu lagi, sekali gus perbincangan mengenainya dapat diadakan bagi memuktamadkan sebarang keputusan lanjut,” katanya.
Laporan sama turut mengetengahkan kebimbangan persatuan perniagaan yang khuatir cukai itu akan menghalang orang ramai berkunjung ke Bali, sekali gus menjejaskan sektor pelancongan yang ketika ini sedang pulih daripada kesan pandemik COVID-19.
Awal bulan ini, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Pandjaitan yang menggesa pengenalan cukai pelancongan berkata, Bali adalah antara destinasi pelancongan termurah di dunia dan ia ‘menggalak kemasukkan ramai pelancong asing berpendapatan rendah, sekali gus melonjak kes tingkah laku tidak terkawal’.
Beliau dilaporkan berkata, pulau itu perlu fokus kepada usaha menjadi destinasi pelancongan berkualiti, berbanding lokasi pelancongan besar-besaran. – nasionalkini