in

Abu al-Hussein mati ditembak – DAESH

Gambar hiasan

BEIRUT, 4 Ogos – Kumpulan DAESH mengumumkan kematian pemimpinnya, Abu al-Hussein al-Husseini al-Qurashi yang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran di barat laut Syria.

Jurucakap DAESH dalam satu mesej di Telegram berkata, Abu al-Hussein terbunuh selepas pertempuran secara langsung dengan kumpulan jihad Hayat Tahrir al-Sham di Idlib, namun tidak memperincikan bila pemimpin itu terbunuh.

Pada masa sama, jurucakap itu turut mengumumkan pemimpin baharu kumpulan itu yang juga kelima, iaitu Abu Hafs al-Hashimi al-Qurashi.

Hujung April lalu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dilaporkan berkata, pemimpin DAESH itu terbunuh di Syria dalam satu operasi yang dijalankan agensi perisikan Turkiye, MIT.

“Beliau yang disyaki sebagai pemimpin DAESH dengan nama Abu Hussein al-Qurashi, dibunuh dalam operasi yang dijalankan oleh MIT di Syria,” kata Erdogan kepada AFP ketika itu.

Abu al-Hussein al-Husseini al-Qurashi dilaporkan terbunuh dalam pertempuran di barat laut Syria – Gambar oleh Agensi

Media Turkiye menerbitkan beberapa gambar bangunan berpagar di tengah sebuah padang, yang dikatakan menjadi lokasi persembunyian Abu al-Hussein di Afrin, Aleppo bersebelahan dengan Idlib, kawasan dikawal pemberontak yang mendapat sokongan Turkiye.

Bagaimanapun, jurucakap DAESH menegaskan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang mengawal kawasan pemberontak di Idlib, bertanggungjawab membunuh ketuanya sebelum menyerahkan mayat Abu al-Hussein kepada Turkiye.

DEASH menuduh HTS bertindak bagi kepentingan Turkiye. HTS belum membuat pengakuan bertanggungjawab terhadap sebarang operasi menyasarkan pemimpin DAESH.

Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Barat lain menyenarai hitam HTS sebagai kumpulan pengganas.

Agensi berita Turkiye, Anadolu ketika itu melaporkan bahawa MIT melaksanakan operasi selama empat jam ketika mengesan lokasi pemimpin DAESH itu.- nasionalkini.my

40 kawasan berdepan gangguan bekalan air

Peluang Arsenal balas dendam