PESHAWAR, 30 Julai – Kira-kira 39 orang maut, manakala berpuluh-puluh lagi cedera akibat kejadian letupan bom pada perhimpunan politik sebuah parti radikal di barat laut Pakistan, kata polis.
“Seorang pemimpin kanan daripada parti itu sepatutnya menyampaikan ucapan pada majlis itu, tetapi sebelum ketibaannya letupan bom berlaku,” kata Ketua Polis Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Akhtar Hayat Gandapur kepada AFP.
Katanya, letupan itu disasarkan kepada parti Jamiat Ulama-e-Islam (F) yang menganjurkan konvensyen di bandar Khar, berhampiran sempadan dengan Afghanistan, menjelang pilihan raya akhir tahun ini.
Menurut laporan media tempatan, kira-kira 500 orang hadir pada perhimpunan itu dan letupan berlaku semasa pemimpin tempatan sedang berucap.
Polis dan pasukan keselamatan mengepung kawasan itu dan melancarkan operasi mencari.
Punca kejadian belum dikenal pasti dan belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu. – nasionalkini.my