in ,

Tengku Ampuan Pahang timang cucunda puteri, diberi nama Tengku Nadine Amina Zahra

3569825

KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyambut keputeraan seorang cucunda puteri, pada Khamis.

Cucunda puteri yang diberi nama Tengku Nadine Amina Zahra merupakan anakanda sulung kepada Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Puan Bendahara, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan.

Menurut hantaran rasmi di laman sosial Majlis Kesultanan Pahang, cucunda puteri berkenaan selamat diputerakan pada jam 3.35 petang di sebuah hospital di ibu negara.

“Seluruh warga Majlis Kesultanan Pahang menzahirkan rasa syukur atas khabar gembira ini serta bersama-sama memohon ke hadrat Allah SWT agar mengurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan, keberkatan dan perlindungan kepada bayi yang baharu diputerakan.

“Semoga cucunda perempuan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang ini membesar sebagai anakanda yang solehah, dikurniakan keimanan, kebijaksanaan, akhlak yang mulia serta menjadi penyejuk hati keluarga,” titip hantaran tersebut.

Keindahan Maksud Nama Curi Perhatian

Dalam pada itu, perkongsian mengenai maksud di sebalik pemilihan nama Tengku Nadine Amina Zahra turut menarik perhatian ramai kerana sarat dengan keindahan dan doa yang mendalam.

Berdasarkan penjelasan Kesultanan Pahang, kombinasi nama tersebut membawa maksud “Harapan yang diamanahkan oleh Allah, yang bersinar dengan cahaya iman.”

Berikut adalah perincian maksud nama yang dipilih:

  • Nadine: Membawa makna harapan, lambang keyakinan terhadap masa hadapan, sinar yang membawa harapan, serta permulaan yang penuh rahmat.
  • Amina: Bermaksud amanah, jujur, setia dan boleh dipercayai. Ia juga bersempena nama bonda Rasulullah SAW, Sayidatina Aminah binti Wahb, yang melambangkan kemuliaan akhlak.
  • Zahra: Bermaksud berseri-seri, bercahaya, mekar dan bersinar. Ia merupakan gelaran bagi puteri kesayangan Rasulullah SAW, Sayidatina Fatimah al-Zahra RA, yang melambangkan kesucian dan cahaya iman.

Pihak Kesultanan Pahang turut mendoakan agar Tengku Nadine Amina Zahra membesar sebagai insan yang beriman, berilmu, dan membawa manfaat kepada agama, bangsa, serta negara.

IMG 20260628 WA0104

KDPB SULTAN PAHANG TITAH LEBIH BANYAK UNIVERSITI TAMPIL HULUR BIASISWA KEPADA ANAK PAHANG DI PULAU TIOMAN