in , ,

Tabung Haji perkenal bekas makanan bertingkat, sedia 10 menu baharu

plastik 1779068820
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad memeriksa makanan yang disediakan untuk jemaah haji Malaysia di Makkah. Foto BERNAMA

MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan inovasi baharu dalam penyediaan sajian buat jemaah haji Malaysia menerusi penggunaan bekas makanan khas tiga kompartmen bagi memastikan hidangan kekal berkualiti dan menepati cita rasa tanah air.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, langkah itu diambil selepas meneliti maklum balas jemaah sebelum ini yang mengadu hidangan disediakan agak kering ekoran penggunaan bekas aluminium.

Kuah Tidak Lagi Kering, Bercampur

“Bermula musim ini, kita memperkenalkan pek sajian khas yang mengandungi tiga bahagian berasingan iaitu untuk nasi, protein (lauk) dan sayur-sayuran.

“Jika dahulu kuah mudah kering disebabkan proses pemanasan semula selain bercampur dengan nasi, bekas baharu ini mampu mengekalkan kualiti kuah dengan lebih baik walaupun ketika bekas tersebut digoncang,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Dapur Al Wafa dan Tadco Catering di sini, semalam.

Menurut Mustakim, sebanyak 1.8 juta unit bekas makanan khas yang dihasilkan oleh syarikat Bumiputera tempatan telah dibawa dari Malaysia menerusi 20 kontena khusus untuk operasi haji musim 1447H/2026M ini.

52 Menu Ditawarkan, Kekal Cita Rasa Malaysia

Dalam pada itu, beliau memaklumkan TH menyediakan 52 menu keseluruhan untuk musim ini termasuk tambahan 10 menu baharu seperti nasi Arab dan nasi beriani bagi memberikan kelainan kepada jemaah.

Bagi memastikan standard rasa terpelihara, seramai 19 cef berpengalaman dari Malaysia telah dibawa dan ditempatkan di tujuh dapur utama yang dilantik di sekitar Makkah serta Madinah.

“Setakat ini, indeks kepuasan jemaah terhadap makanan yang disediakan di Madinah telah mencapai 94 peratus berdasarkan kaji selidik yang dijalankan.

“Aspek keselamatan makanan kekal menjadi keutamaan kami. Pihak berkuasa Arab Saudi amat ketat dalam memantau kawalan suhu bahan mentah serta kebersihan dapur secara berterusan,” jelasnya.

Kos Haji Kekal RM33,300

Menyentuh mengenai kos haji, Mustakim menegaskan kadar bayaran haji kekal pada RM33,300 untuk tahun ketiga berturut-turut.

Keputusan itu mengekalkan harga sedia ada meskipun TH berdepan cabaran peningkatan kos operasi, termasuk harga tiket penerbangan dan bahan mentah yang melonjak impak daripada konflik geopolitik global semasa.

“Pihak TH sedaya upaya menyerap peningkatan kos ini demi memastikan kebajikan jemaah terjaga, di samping terus komited mempertingkatkan mutu perkhidmatan kami di Tanah Suci,” katanya lagi.

HARIMAU MALAYA 1

Skuad negara rugi besar jika terlepas aksi persahabatan FIFA