KUNDASANG: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, membuktikan ketahanan fizikal tinggi apabila berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada jam 8.25 pagi tadi.
Kejayaan itu dicapai sempena Ekspedisi Mahkota Borneo yang disertai seramai 46 pegawai Majlis Kesultanan Pahang (MKP) serta anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU).
Baginda memulakan fasa akhir pendakian ke puncak setinggi 4,095 meter itu pada jam 3.20 pagi tadi, selepas bermalam di Panalaban semalam.
Pengerusi Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal yang turut mengiringi pendakian itu berkata, semangat dan kegigihan baginda seharusnya menjadi pembakar semangat kepada masyarakat.
“Bukan mudah untuk menakluki Gunung Kinabalu, namun baginda mempamerkan disiplin dan kesabaran yang luar biasa sepanjang pendakian ini,” katanya di sini, hari ini.
Tengku Hassanal sebelum ini pernah mencipta rekod sebagai Tengku Mahkota Pahang pertama mendaki Gunung Tahan di Lipis pada Ogos 2020. Kejayaan terbaharu ini memahat satu lagi pencapaian peribadi baginda dalam aktiviti sukan lasak di puncak tertinggi Malaysia itu.

