in ,

Tuah Goh tak sunyi, bangga ditemani anak cucu pelbagai agama

s600

Walaupun sudah 47 tahun suaminya meninggal dunia, Goh Hui Lang, 95, tidak begitu merasai kesunyian kerana dia dijaga dengan penuh kasih sayang oleh anak dan cucunya.

Dia yang menetap di Indera Mahkota 2, dekat Kuantan, Pahang, mengakui amat bertuah kerana memiliki keluarga besar yang sangat rapat dan saling memahami.

Goh berasal dari Rompin, Pahang sebelum berpindah ke Kampung Jambu, Nenasi, Pekan.

Dia kemudian berkahwin dengan mendiang suaminya, Boon Kuan Seng yang berasal dari Kampung Lubuk Paku, Maran, pada 1949.

“Semasa itu saya umur 14 tahun, mak yang suka dengan bakal suami saya tu dan suruh kami kahwin,” katanya yang beragama Kristian.

Hasil perkongsian hidup mereka, pasangan terbabit mendapat 10 anak dengan lima daripadanya memilih untuk memeluk Islam.

“Saya tidak pernah menghalang mereka nak masuk Islam, tapi saya selalu ingatkan sebab Islam ini agama yang besar… jadi bila dah masuk, jangan patah balik,” tambahnya.

Selain memiliki 10 anak, dia kini mempunyai 28 cucu dan 31 cicit.

Hampir semua ahli keluarga Goh berkumpul setiap kali tiba waktu untuk sambutan perayaan seperti Tahun Baru Cina, hari raya dan Krismas.

Boon Kuan Seng
Tuah Goh tak sunyi, bangga ditemani anak cucu pelbagai agama 4

Salah seorang anaknya, Boon Ai Li atau nama Islamnya, Nur Laila Qarina Abdullah, memberitahu ayahnya pernah bertugas sebagai Special Constable ketika zaman British.

Bagaimanapun bagi Nur Laila Qarina, 52, tidak banyak yang dapat diingat berkaitan pengalaman dia bersama ayahnya namun ada sesuatu yang istimewa pada lelaki terbabit.

“Ayah tak ajar kami bercakap Cina… dia suruh kami belajar sendiri, dan kami adik-beradik bukan saja boleh bertutur dalam bahasa Cina, dalam bahasa Tamil pun boleh.

“Semua kami belajar sendiri dengan jiran-jiran dan kawan-kawan yang tinggal di kawasan perumahan ini,” katanya.

Balik Kuantan jaga ibu

Dia sebelum ini menetap di Melaka sebelum berpindah ke Kuantan kira-kira lima tahun lalu untuk membantu kakaknya menjaga Goh.

Ditanya mengenai punca dia memeluk Islam, Nur Laila Qarina berkata, ia bermula selepas mengalami kemalangan sehingga mengakibatkan pergelangan kakinya hancur dan terpaksa dipasang skru.

Kejadian itu, katanya, berlaku semasa penghujung Ramadan – atau tiga hari sebelum Syawal. Semasa tidur, tambah Nurlaila Khairina lagi, dia terdengar bunyi azan sebelum ada suara yang menyeru dia mengucap.

“Semua itu berlaku pada 2018 dan saya mengambil masa dua tahun untuk memahami betul-betul Islam sebelum memeluk agama ini.

“Maknanya, pada 2020 saya peluk Islam dan kemudian balik Kuantan untuk jaga ibu,” jelasnya.

Nur Laila Qarina menambah, tiga kakak dan seorang abangnya juga memeluk Islam manakala lima lagi beradik mereka masih mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Bagaimanapun, abangnya itu sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Goh bersama sebahagian anaknya (dari kiri) Molly Bon Niau Ying, Bon Niau Lim @ Nurul Huda Bon Abdullah, Boon Ai Li @ Nur Laila Qarina Abdullah, Boon Ah Lee, dan cucu Nur Adawiyah Muhammad Danish Boon
Tuah Goh tak sunyi, bangga ditemani anak cucu pelbagai agama 5

Sementara itu, seorang daripada 31 cucu Goh, Nur Adawiyah Muhammad Danish Boon, 22, memaklumkan dia berasa sangat bertuah kerana memiliki keluarga yang begitu unik.

Di sebalik perbezaan kepercayaan, dia berkata, mereka terus meraikan kepelbagaian tersebut sehingga ia menjadi sumber kekuatan.

Kata Nur Adawiyah, hubungan rapat yang sedia terjalin selama ini turut membina keyakinan dalam dirinya untuk berdepan segala ujian.

“Saya bangga kerana memiliki mak cik dan pak cik yang sangat menjaga hubungan kekeluargaan kami.

“Walaupun berbeza agama, ia tidak pernah membataskan hubungan antara kami semua,” katanya yang juga pelajar tahun dua (semester tiga) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (Umpsa) dekat Gambang.

Dia yang mengambil jurusan pengurusan projek memaklumkan, rakan-rakannya di universiti tersebut juga teruja setiap kali bertemu dengan ahli keluarganya.

“Saya selalu juga ajak mereka datang sambut raya di sini, jadi mereka boleh tengok sendiri keluarga kami dan kebanyakan rakan di Umpsa kagum dengan cara kami bertolak ansur walaupun berbeza agama,” jelasnya.

7f546de3 d1f9 44ac a115 82e16d08bcaf

Touch Me tawar pakej umrah Lantik Maulana Helmi sebagai duta